Fizi dan Shakilla.
Fizi dan Shakilla.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pengacara dan penyampai radio, Fizi Ali, 32, memaklumkan khabar duka dia dan isterinya, pelakon Shakilla Khoriri, 32, sudah bercerai dan kini memilih untuk membawa haluan berbeza.

Fizi atau nama sebenarnya Muhd Hafizudin Alimudin menjelaskan biarpun sudah hidup berasingan, dia dan Shakilla bersepakat untuk membesarkan anak mereka, Ameena dengan penuh kasih sayang.

"Assalammualaikum semua. Maaf kepada mereka yang tertanya-tanya apa yang terjadi pada saya dalam beberapa minggu ni. 

"Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa saya dan Shakilla tidak lagi bersama dan akan membawa haluan masing-masing. Walaupun hidup berasingan, kami juga sudah bersepakat akan membesarkan Ameena dengan penuh kasih sayang. 

"Kami janji Ameena tetap akan merasa kasih sayang sepenuhnya dari daddy dan umi. Kami harap semua pihak dapat menghormati keputusan ini. Anggaplah jodoh kami sampai di sini," tulisnya menerusi perkongsian di Instagram

Fizi mengumumkan mengenai perpisahannya bersama isteri namun, bersepakat memastikan anak mereka membesar dengan baik. 

Malah, penyampai radio itu turut berterima kasih di atas doa yang diberikan semua pihak terhadap keluarga kecilnya itu.

"Terima kasih atas doa-doa kalian sebelum ini dan mohon doa untuk kami bertiga meneruskan perjalanan yang panjang ini dengan penuh redha. 

"Insya Allah, semoga doa yang baik-baik ini akan kembali kepada kalian semua juga. Minta maaf dan terima kasih," katanya.

Fizi dan Shakilla berkahwin pada 18 Februari 2018 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ameena Sofia yang kini berusia dua tahun.

Sementara itu, setakat ini usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan lanjut daripada pasangan ini berhubung perpisahan mereka tidak berhasil apabila panggilan telefon dan mesej tidak berbalas.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 1:41 PM