Fizi Ali hadir bagi sebutan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Fizi Ali hadir bagi sebutan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Ramlah Zainal


 

Shah Alam : "Saya bukan nak rebut anak, tapi mahu dia (Ameena) dapat hak yang sepatutnya dan kasih sayang daripada mak dan ayahnya," kata penyampai radio Hot FM, Fizi Ali, 37.

Fizi berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah untuk sebutan kes hadanah di sini, pagi tadi.

Manakala, bekas isterinya, Shakilla Khoriri, 35, sampai di mahkamah dengan ditemani peguamnya.

Menurut Fizi atau nama sebenar, Mohd Hafizudin Alimudin, dia terpaksa mengambil tindakan undang-undang kerana tidak mahu orang lain mengalami nasib sama sepertinya. 

"Saya buat ini kerana sebagai bapa, saya tidak mahu dituduh macam-macam.

"Itu yang saya nak perjuangkan. Saya tahu ramai yang DIrect Message (DM) kerana mungkin mengalami nasib sama seperti saya," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Ditanya bila kali terakhir dia bertemu dengan anaknya, Nur Ameena Sofia, 5, kata Fizi, dia  enggan mengulas mengenai perkara itu.

Sementara itu, kira-kira15 pengamal media dari pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 11 pagi untuk membuat liputan.

Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Pada bulan lalu, Fizi memfailkan kes tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini kerana Shakila enggan membenarkan dia bertemu anaknya.

Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember 2021. 

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Ameena Sofia.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 12:37 PM