Fizi Ali selepas sebutan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Fizi Ali selepas sebutan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Ramlah Zainal


Shah Alam : "Saya sangat rindukan anak kerana hampir dua bulan tidak dapat jumpa Ameena. Ia adalah tempoh paling lama saya tidak berjumpa anak," kata penyampai radio Hot FM, Fizi Ali, 37. 

Fizi berkata demikian ketika ditanya bila kali terakhir dia berjumpa anaknya, Nur Ameena Sofia, berusia lima tahun.

Menurut Fizi atau nama sebenar, Mohd Hafizudin Alimudin, 37, dia sudah tidak larat berdepan kemelut tidak berkesudahan bersama  bekas isterinya, Shakilla Khoriri, 35.

"Kalau nak diikutkan, saya nak selesaikan semuanya hari ini, tapi tidak dapat penyelesaian dengan Shakilla," katanya yang turut menitiskan air mata ketika ditemui selepas prosiding sulh, pada tuntutan hadanah yang difailkannya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Ditanya kenapa tidak berkunjung ke rumah Shakilla untuk  bertemu Ameena, kata Fizi, dia tidak mahu melanggar undang-undang dan didakwa sebagai penceroboh nanti.

Katanya, dia juga mengetahui di mana lokasi di mana anaknya berada, tapi negara ini ada undang-undang.

"Saya boleh pergi berjumpa Ameena di lokasi itu, tetapi akan didakwa sebagai penceroboh.

"Perkara ini boleh berbincang secara baik, tapi kalau memang dia mahu  cara begini, saya tiada masalah," katanya. 

Berkongsi mengenai Ameena lagi, kata Fizi, kasih sayangnya terhadap anak tunggal dengan bekas isteri tidak berbelah bahagi meskipun kini sudah berkahwin dengan isteri baharu, Siti Zulaikha. 

"Saya memang sangat sayang Ameena. Sangat-sangat.

"Jadi, saya tak kisah orang nak cakap apa. Yang saya tahu sekarang ini, saya cuma nak hak yang sama membabitkan penjagaan anak," katanya. 

Bulan lalu, Fizi memfailkan kes hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini kerana Shakila enggan membenarkannya bertemu anak mereka

Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Nur Ameena Sofia, 5. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 2:35 PM