Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Hasrat pelakon Datin Elvina Mohamad, 26, melepas rindu bersama rakan baiknya menerusi siaran langsung Instagram semalam, bertukar mimpi ngeri selepas seorang pengikut lelaki 'terlepas' masuk sebelum menunjukkan kemaluannya dalam sesi itu.

Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad berkata, insiden itu berlaku selepas rakannya tersilap menerima masuk individu terbabit ke dalam perbualan mereka.

"Ceritanya seorang rakan ajak saya 'live' di Instagram. Saja nak lepas rindu sebab sudah lama tak jumpa. Maklumlah sepanjang pandemik Covid-19 ini, media sosial tempat kita nak lepaskan rindu, dan berhubung dengan yang lain. Malangnya, lain pula yang jadi.

"Seorang daripada rakan kami komen minta nak join 'live', jadi Zawa (rakan) pun terima permintaan daripada dia. Tak sangka yang masuk adalah orang lain, individu tak bertanggungjawab godam 'live' kami dengan menunjukkan kemaluannya," katanya.

Elvina berkata, dia masuk terkejut dengan apa yang berlaku dan menasihatkan sesiapa yang membuat sesi siaran langsung di media sosial supaya berhati-hati.

"Tolong berhati-hati sebab saya dapat maklumat, ini bukan kali pertama individu terbabit godam sesi 'live' orang lain," katanya.

Selain menyarankan semua berhati-hati, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu turut berpesan supaya individu terbabit hentikan perbuatan sebegitu.

"Kepada individu yang tak bertanggungjawab itu, media sosial ini bukan tempat untuk melepaskan nafsu ya. Tolonglah berhenti buat benda tak senonoh tu! Engkau dah kenapa?" katanya.

Menerusi video sewaktu insiden yang dikongsi Elvina, dia bersama dua rakannya rancak berborak sebelum menerima masuk seorang individu. Sebaik pengikut itu menunjukkan kemaluannya, mereka jelas terkejut besar sebelum tamatkan sesi 'live' terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 12:35 PM