Majlis Pernikahan Pelakon, Elvina Mohamad bersama pasangan, Datuk Haniff Borhan di Royale Chulan Hotel. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Elvina Mohamad, 23, selamat bernikah dengan ahli perniagaan, Datuk Haniff Borhan, 32, di hotel terkemuka di ibu negara, 3.27 petang tadi.

Elvina atau Norzalina Mohamad dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Al-Syakirin KLCC, Mohd Radhi Abdul Ghani dan disaksikan keluarga kedua belah pihak.

Pada majlis itu, Elvina yang juga pelakon ‘Shhh...I Love You’ menerima mas kahwin RM700.00, senaskah Al-Quran menggantikan wang hantaran dan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki.

Sementara pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang.

Majlis pernikahan itu dihadiri 150 jemputan yang terdiri daripada keluarga, kenalan rapat pengantin dan teman media.

Menariknya, pembawa dulang hantaran pihak pengantin perempuan terdiri daripada rakan artis iaitu Emma Maembong, Eyka Farhana dan Sweet Qismina.

Elvina dan Haniff yang berkenalan dua tahun lalu membuat keputusan untuk ke jinjang pelamin kira-kira tiga bulan lalu.

Pasangan itu juga akan mengadakan majlis resepsi yang bertemakan Fairytale pada 24 Mac ini di lokasi sama majlis nikah berlangsung, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Terdahulu, pasangan itu melangsungkan majlis pertunangan sebelum acara ijab kabul dilaksanakan.

Upacara menyarung cincin disempurnakan ibu pengantin lelaki, Datin Roslaini Sirun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 5:16 PM