Elvina (tengah) dituduh selepas salah seorang individu ditahan terbabit kes dadah.
Elvina (tengah) dituduh selepas salah seorang individu ditahan terbabit kes dadah.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Elvina Mohamad kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan gambarnya menyebabkan netizen menuduhnya terbabit dalam kes dadah, baru-baru ini.

Elvina, 22, berkata, salah seorang individu dalam gambar itu ditahan akibat kesalahan dadah dan disebabkan secara kebetulan Elvina berada dalam gambar itu, dia turut dikatakan ditahan selepas ia tular di Facebook sejak minggu lalu.

“Saya memang terkejut dengan berita itu kerana tidak tahu-menahu dengan apa yang berlaku. Saya dimaklumkan menerusi rakan dan peminat yang menghantar mesej di Instagram.

"Saya juga tak kenal sesiapa pun yang berada dalam gambar itu. Apa yang saya ingat mereka datang kepada saya untuk bergambar ketika di sebuah pusat beli-belah di sini. Jadi, apabila gambar itu dimuat naik, ramai yang mula salah-sangka dan menuduh saya," katanya kepada Harian Metro.

Elvina berkata, ketika perkara itu tular di media sosial dia berada di Bangkok, Thailand bersama pengurusnya atas urusan kerja.

Menurut Elvina, tajuk yang ditulis pengendali akaun Facebook itu membuatkan banyak pihak bersangka buruk terhadapnya.

“Kebanyakan netizen lebih suka membaca tajuk daripada membaca keterangan yang ditulis hingga habis. Disebabkan itu nama saya buruk dan orang memandang serong terhadap saya.

"Ingin dijelaskan, saya tak terbabit dengan kes itu atau mengenali mereka. Apa yang berlaku hanyalah salah faham," katanya.

Menurut Elvina, dia bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara itu menjejaskan reputasi dan kerjayanya.

Pada masa sama, Elvina juga tidak pernah berhubung dengan pengendali akaun itu sejak ia mula tersebar pada 21 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 6:43 PM