ELVINA. FOTO Hazreen Mohamad
ELVINA. FOTO Hazreen Mohamad
Ridzuan Abdul Rahman

Petaling Jaya: Pelakon, Datin Elvina Mohamad tidak mahu terlalu berkongsi kehidupan peribadi dan keluarganya di media sosial. 

Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 29, berkata, tidak semua orang suka melihatnya berkongsi kebahagiaan keluarga sekali gus buat dia bimbang berlaku perkara tidak diingini. 

"Di Instagram saya lebih banyak berkongsi soal kerja. Saya takut perkara seperti 'evil eye'. Jadi saya takut nak kongsi mengenai keluarga saya. Dulu saya teruja nak kongsi tapi bila sudah makin berumur, saya sukakan privasi.

"Dulu masa muda lainlah, sangat teruja nak kongsi semua perkara di media sosial. 

"Lagipun sudah macam-macam yang jadi, sebab itu asalkan keluarga saya gembira itu sudah memadai," katanya yang juga isteri kepada Datuk Mohd Haniff Borhan dan mempunyai dua cahaya mata.  

Elvina berkata, dia juga hairan apabila ada segelintir lelaki menghantar Direct Message (DM) seakan mengurat sedangkan dia tidak pernah menyembunyikan statusnya sebagai isteri orang. 

"Mereka ingat saya 'single'. Tak tahulah mereka tahu atau buat-buat tak tahu sebab saya ada sahaja berkongsi gambar anak dan suami, cuma jarang berbuat demikian," katanya ditemui di majlis tayangan media filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC The Starling, di sini.

Sementara itu, walaupun dia seorang penakut, Elvina menyahut cabaran membawakan watak utama menerusi filem arahan Azaromi Ghozali ini. 

"Takut, tapi saya nak juga mencuba. Sepanjang penggambaran saya jaga mulut tapi hujung-hujung saya kena ganggu juga. Amat risau kerana saya ada anak-anak yang masih kecil. 

"Jadi saya amalkan petua orang tua-tua iaitu balik jangan terus jumpa anak dan mandi bersihkan diri dahulu agar tiada aura negatif ikut saya balik rumah," katanya. 

Filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang bakal ditayangkan pada 15 Februari turut menampilkan pelakon Zahiril Adzim, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama serta pelakon kanak-kanak, Putri Amirah Maisara dan Syed Irfan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 7:17 PM