Cerita Elvina yang tersebar di laman forum internet. FOTO ELVINA
Cerita Elvina yang tersebar di laman forum internet. FOTO ELVINA
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Elvina Mohamad menepis dakwaan mengatakan dirinya meminati kaum sejenis seperti yang tersebar di sebuah laman forum Internet sejak minggu lalu.

Elvina yang juga pelakon drama Shh...I Love You berkata, dia kesal dengan tuduhan itu hanya kerana dia berkawan dan mempunyai pembantu peribadi daripada golongan pengkid.

"Saya pun tak tahu dari mana timbul cerita ini. Nak tergelak pun ada juga, tapi mungkin disebabkan orang sering melihat saya bersama mereka terus saya dicop begitu. Kenapa terlalu mudah nak menjatuhkan hukum kepada orang lain tanpa mengetahui cerita sebenar?

"Kalau nak tahu saya jenis berkawan dengan semua orang tapi tak lebih daripada itu. Ingin dijelaskan saya masih waras dan sukakan lelaki. Jangan pula disebabkan saya tak pernah nak tunjuk teman lelaki dijadikan alasan saya meminati kaum sejenis," katanya kepada Harian Metro.

Elvina juga yakin cerita yang tersebar ini datangnya daripada individu tertentu yang pernah menaruh hati terhadapnya.

"Tahun lalu saya pernah melalui pengalaman di mana kawan perempuan sendiri meluahkan rasa suka terhadap saya, malah dia beritahu orang lain saya adalah kekasihnya. Saya terkejut dan marah dengan tindakannya itu.

"Selepas itu saya ambil keputusan menjauhkan diri. Sejak itu dia mulai bawa mulut dengan menulis di ruangan komen dengan menuduh saya lesbian menggunakan akaun palsu. Dari situ orang yang membaca memberi persepsi negatif terhadap saya," katanya.

Elvina berkata, sejak insiden itu orang sekeliling mulai bertanya kesahihan perkara itu sehingga membuatkan dia malu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 7:06 PM