Elvina
Elvina
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Datin Elvina Mohamad, 27, terpaksa menggunakan bantuan oksigen sewaktu menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19 pada 16 Februari lalu.

Elvina berkata, pengalamannya bertarung dengan virus itu cukup menyeksakan kerana gejala dialaminya bersilih-ganti termasuk sakit dada, sesak nafas dan badan menjadi terlalu lemah.

"Awalnya saya cuba kuatkan diri kerana gejalanya tidaklah terlalu teruk. Masuk hari kedua, saya mula rasa sesak nafas dan bacaan oksigen dalam badan menurun kepada 93 peratus.

"Saya terus meminta suami untuk membeli alat bantuan oksigen dan sehingga sekarang masih gunakan jika rasa sesak nafas. Alhamdulillah, saya sudah bebas kuarantin tapi masih rasa penat dan kadang-kadang sesak nafas," katanya.

Elvina berkata, dia tidak menyangka rasa sakit akibat jangkitan virus Omicron Covid-19 sampai ke tahap begitu walaupun gejalanya tidak kritikal.

"Saya tak dapat bayangkan bagaimana agaknya kesakitan mereka yang kritikal akibat virus itu. Saya sendiri yang sihat dan pertama kali dijangkitinya pun boleh rasa sakit teramat. Saya sebenarnya tiada penyakit pernafasan termasuk asma pun selama ini. Saya diberitahu gejala Omicron memang tidaklah teruk tapi bersilih ganti juga rasa sakit kepala dan sesak nafas," katanya.

Pelakon drama bersiri Takdir Yang Tertulis itu bagaimanapun bersyukur kerana ahli keluarganya yang lain bebas daripada virus terbabit.

"Sewaktu mendapat tahu saya positif, seluruh ahli keluarga di rumah turut buat ujian saringan. Mujur keputusan mereka semua negatif," katanya.

Elvina juga akan kembali ke lokasi penggambaran siri Takdir Cinta Dia dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, dia enggan menyusahkan jadual produksi dan akan terus menjaga prosedur standard operasi (SOP) sebaiknya setiap masa.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 3:14 PM