Elvina
Elvina

Kuala Lumpur: Sudah dijaga kebajikan dengan baik pun, tetap melarikan diri. Itu luahan kesal pelakon Datin Elvina Mohamad, 30, apabila pembantu rumahnya melarikan diri, semalam.

Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad berkata wanita warga Indonesia berusia 39 tahun itu turut mencuri telefon bimbit dan meninggalkan anaknya sendirian.

"Pembantu rumah saya lari tinggalkan anak saya berusia sembilan bulan seorang diri. Dia bawa lari sejumlah wang dan juga telefon bimbit anak kami, mungkin ada lagi barang-barang lain yang belum diperiksa," katanya.

Elvina juga akui sudah mengesyaki wanita berkenaan memang ada niat ingin melarikan diri. Dia agak kesal kerana tugas pembantu rumahnya itu tidak berat pun.

"Geram betul rasanya. Pernah dengar dia tanya kata laluan telefon Karl (anak) untuk bantu buka. Rupa-rupanya sudah ada agenda. Dalam rumah ini ada dua orang pembantu rumah. Tugas dia hanya jaga dan basuh baju Maleeq (anak) sahaja.

"Kerja dia tak berat pun. Bila saya tiada di rumah dan periksa CCTV (kamera litar tertutup) dia sibuk berkaraoke, main TikTok dan main telefon. Anak dibiarkan sendiri. Apabila ditegur barulah dia buat kerja tetapi mata jeling CCTV," katanya.

Pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu juga mendedahkan dia tidak sangka wanita itu tergamak buat hal. Padahal, dia dan suaminya sentiasa bermurah hati membantunya. 

"Awal bekerja dan buat cerita sedih beritahu susah hendak hubungi anak di kampung. Suaminya saya berikan duit supaya anak dia dapat beli telefon dan mereka boleh 'video call'.

"Baru-baru ini dia pernah cakap tak pernah raikan sambutan ulang tahun. Walaupun saya dan suami sibuk kami balik juga belikan kek dan pesan makanan yang dia mahu," ceritanya.

Elvina berkongsi kekecewaanya itu di laman Instagram dan meminta bantuan orang ramai mengesan wanita berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 11:13 AM