Konsert Bruno Mars akan berlangsung pada tarikh sama  PRU14. FOTO Reuters/BMKL
Konsert Bruno Mars akan berlangsung pada tarikh sama PRU14. FOTO Reuters/BMKL
Georgie Joseph


PENGANJUR konsert Bruno Mars Live in Kuala Lumpur iaitu PR Worldwide akan meneruskan acara itu pada 9 Mei nanti meskipun jatuh pada tarikh sama dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kenyataan dibuat menerusi laman Facebook rasmi agensi penganjuran acara berpengaruh terbabit, semalam selepas tarikh PRU14 diumumkan.

“Kepada semua pembeli tiket Bruno Mars Live in Kuala Lumpur, buat masa ini acara itu masih akan dijalankan mengikut jadual asal.

“Untuk perkembangan terkini, mereka boleh mengikuti laman web www.prworldwidelive.com,” menurut kenyataan itu.

Berikutan pengumuman itu, ia menerima pelbagai reaksi peminat yang sudah pembeli tiket.

Ada yang mahu ia diteruskan dan tidak kurang juga meminta supaya tarikhnya ditukar.

“Tolong tukar atau tunda tarikh itu, mengundi lebih penting,” kata Emedani Isabella.

“Tolong jangan tukar tarikh, paling-paling lambatkan sedikit waktu konsert bermula. Ramai daripada kami sudah membeli tiket dan menempa penginapan serta keperluan logistik lain untuk mengundi pada sebelah pagi dan konsert sebelah malam,” kata Sarah Yeoh pula.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh mengundi jatuh pada 9 Mei.

Kesemua 12,000 tiket konsert Bruno Mars yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sudah habis terjual.

Ini bukan pertama kali kebetulan itu berlaku.

Konsert penyanyi opera, Andrea Brocelli turut jatuh pada tarikh sama dengan PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei, 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 4:05 PM