NURUL Nadzirah dan suami, Mohd Taibuddin bersama anak mereka, Fatih.
NURUL Nadzirah dan suami, Mohd Taibuddin bersama anak mereka, Fatih.
Oleh Redzuan Muharam


Hulu Langat: Keadaan Mohd Taibuddin Marjuni berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal tidak pernah membuatkan Muhamad Saifullah Putra Al-Fatih Rizq malu dengan bapanya itu.

Sebaliknya, anak muda mesra disapa Fatih, 9, amat rapat dengan Mohd Taibuddin, 36, malah menerima kekurangan bapanya yang juga pereka dan pentadbir di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) Al-Mutadayyin di sini.

Kisah dua beranak itu mendapat perhatian selepas ibu Fatih, Nurul Nadzirah Mohamed Daud, 31, memuat naik video di TikTok, baru-baru ini.

Menerusi video itu, kelihatan Fatih membantu bapanya mengisi petrol kereta di sebuah stesen minyak.

Berkongsi kisah sebenar, Nurul Nadzirah berkata, video itu dirakam dari dalam kereta ketika berada di sebuah stesen minyak di Ampang, Kuala Lumpur.

"Hari itu, Fatih duduk di belakang dan waktu sampai stesen minyak, dia tanya boleh ke bantu abahnya (panggilan untuk bapa) isi minyak.

"Bila nampak situasi itu, saya terus rakam menerusi cermin sisi kereta.

"Saya rakam spontan saja kemudian muat naik di TikTok, tapi tak sangka boleh tular kerana sekadar rakam dan kongsi untuk kenangan," katanya ketika dihubungi.

Menurut Nurul Nadzirah, Fatih anak yang ringan tulang dan banyak membantunya melakukan kerja rumah.

Nurul Nadzirah berkata, Fatih juga sangat memahami keadaan bapanya yang dilahirkan disahkan OKU selepas terjatuh katil ketika kecil.

"Saya memang ajar Fatih buat kerja rumah, jadi lama-kelamaan, dia sudah terbiasa dan akan bantu lipat baju dan cuci pinggan selepas makan.

"Dalam erti kata lain, Fatih anak yang baik dan mudah dijaga, malah rapat dengan saya juga suami.

"Fatih pun faham keadaan bapanya cuma waktu kecil dia pernah tanya kenapa pergerakan suami lain dalam solat.

"Jadi, saya pun terangkan kepadanya yang bapanya tak normal macam orang lain tapi istimewa dan lama- kelamaan dia faham," katanya yang juga guru di Sekolah Rendah Islam Al-Muttaqin di sini.

Nurul Nadzirah mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang mendoakan kebaikan buat anaknya.

"Semoga doa baik berbalik kepada semua yang mendoakan. Saya harap juga anak lain jadikan kisah ini sebagai contoh dan pengajaran untuk turut sama berbakti kepada ibu bapa mereka.

"Untuk Fatih pula, saya berdoa dia membesar jadi anak soleh, berjaya di dunia dan akhirat dan tak malu ceritakan kisah bapanya yang istimewa,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 11:01 AM