Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Konsert Ungu di Kuantan Bersama Artis Tanah Air yang sepatutnya berlangsung pada 24 Februari ini ditunda ke tarikh baharu iaitu 4 Mei depan bagi menghormati kedatangan Ramadan.

Menurut kenyataan media oleh Showpro Entertainment Sdn Bhd selaku penganjur, pihaknya prihatin terhadap sensitiviti masyarakat menyebabkan keputusan itu diambil.

"Tidak ada yang lebih diutamakan oleh pihak penganjur selain menjaga sensitiviti, toleransi demi keharmonian serta menghormati pelbagai kaum dan agama sebagai rakyat Malaysia tercinta.

"Ia selepas mengambil kira faktor perkembangan isu semasa serta menghormati pandangan masyarakat terutama umat Islam yang akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

"Kami amat bertanggungjawab dan prihatin mengenai setiap situasi yang berlaku di Malaysia," demikian kenyataan terbabit.

Pihak penganjur turut menukar nama acara itu yang asalnya menggunakan nama Pesta Muzik Kuantan dan barisan artis terbabit juga menyambut baik keputusan berkenaan.

"Keputusan Ungu di Kuantan Bersama Artis Tanah Air dipersetujui baik seluruh barisan artis dan pihak yang terbabit. Penganjur dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada semua pembeli tiket konsert," katanya.

Semua pembeli tiket konsert boleh mengekalkan status pembelian memandangkan hanya perubahan kepada tarikh konsert saja iaitu dari 24 Februari ditunda kepada 4 Mei nanti.

Barisan artis tempatan yang memeriahkan acara itu termasuk kumpulan terkenal Indonesia, Ungu, Eda Ezrin, Ara Johari, Naim Daniel, Khai Bahar, Nabila Razali, Den Manjo, dan Aswad Jalil.

Acara berkenaan difahamkan bertujuan melestarikan budaya, menggalakkan apresiasi seni serta membantu penjanaan ekonomi pada karnival yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 3:43 PM