MUHAMMAD Danish Darwish disedari hilang pada 9 Jun lalu. FOTO Ihsan Polis
MUHAMMAD Danish Darwish disedari hilang pada 9 Jun lalu. FOTO Ihsan Polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Selepas 20 hari menghilangkan diri, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Rembau ditemukan di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Muhammad Danish Darwish Dasuki Muhammad Addam, 13, anak sulung daripada empat beradik itu kini berada di kediaman keluarganya di Batu Kikir di sini selepas dibawa pulang oleh bapanya kira-kira 1 pagi.

Bapanya, Muhammad Addam Wahab, 30 berkata terdahulu, dia menerima maklumat daripada kenalan berhubung penemuan anaknya itu menerusi perkongsian di media sosial pemain bola sepak Kuching City, Joseph Kalang Tie.

"Saya berhubung dengan beliau (Joseph), ternyata remaja itu adalah anak saya dan terus bergegas ke Kuala Lumpur dari Terengganu serta mencarinya di kawasan Pudu, Chow Kit dan sekitarnya.

"Alhamdulillah, Danish ditemui di Dataran Merdeka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Addam berkata, dia bersyukur Danish dalam keadaan sihat namun belum ingin bercerita punca dan tindakannya menghilangkan diri susulan masih dalam keadaan keliru.

"Apa juga alasannya kami berlapang dada malah lega akhirnya Danish pulang ke pangkuan keluarga.

"Terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti menyalurkan maklumat mengenai keberadaan Danish," katanya yang memaklumkan ke Terengganu sebelum itu susulan Danish didakwa berada di sana.

Dalam perkongsian Joseph Rabu lalu, beliau dikatakan terserempak dengan remaja terbabit ketika sedang melakukan senaman pagi bersama rakan sepasukan sebelum warganet memaklumkan remaja itu adalah individu hilang pada 9 Jun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed ketika dihubungi media mengesahkan sepanjang remaja berkenaan melarikan diri, dia dalam keadaan baik dan tidak di kurung atau di cederakan.

"Ayahnya akan memindahkan remaja itu ke sekolah berhampiran rumahnya di Jempol," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kehilangan Muhammad Danish disedari warden sekolah kira-kira jam 11 malam selepas mendapati pelajar itu tiada semasa sesi panggil nama pelajar asrama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:35 AM