Sebanyak tujuh pencapaian utama digariskan di dalam laporan Kelestarian 2023. FOTO AIR SELANGOR
Sebanyak tujuh pencapaian utama digariskan di dalam laporan Kelestarian 2023. FOTO AIR SELANGOR
Muhammad Najmir Razaman

Kuala Lumpur: Penyedia perkhidmatan air terbesar Malaysia, Air Selangor baru-baru ini menerbitkan Laporan Kelestarian 2023 dengan tema 'Memacu Kelestarian Masa Hadapan'.

Laporan yang diterbitkan bagi tahun keempat ini menggariskan pelbagai inisiatif dan pencapaian bagi tempoh setahun bermula Januari sehingga Disember 2023.

Penerbitan laporan ini turut membuktikan komitmen mereka dalam mengukuhkan jaminan sekuriti air di peringkat serantau dan tempatan melalui amalan kelestarian dan kecekapan operasi.

Ia sejajar dengan aspirasi syarikat itu dalam menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.

Tujuh pencapaian utama

Menerusi laporan itu, Air Selangor berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian melalui inisiatif kelestarian seterusnya memberikan impak positif terhadap pembangunan ekonomi, alam sekitar dan sosial

Antara pencapaian utama yang digariskan dalam laporan ini termasuklah:

1. Penurunan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW)

Air Selangor berjaya mencatatkan penurunan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang lebih rendah berbanding 2022 iaitu sebanyak 27.75 peratus dengan penurunan sehingga 0.01 peratus.

2. Peningkatan purata margin rizab air

Selain itu, purata margin rizab air juga menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 15.34 peratus berbanding 12.02 peratus pada tahun 2022.

Ia berikutan, antara lain, pertambahan bekalan air sebanyak 275 juta liter sehari (JLH) yang dihasilkan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 Koridor Barat.

Air Selangor turut menjangkakan peningkatan purata margin rizab air ini kepada 17.70 hingga 20 peratus menjelang 2030.

3. Pematuhan Standard Kualiti Air Minuman

Selain itu, pematuhan Standard Kualiti Air Minuman yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mencatatkan peningkatan sehingga 99.93 peratus manakala pematuhan Program Jaminan Kualiti (QAP) turut mencapai 100 peratus.

4. Penghasilan bekalan air

Bagi tahun 2023, Air Selangor berjaya meningkatkan kapasiti menghasilkan bekalan air sebanyak 5,227 JLH.

Jumlah kapasiti ini meningkat sebanyak 110 JLH berbanding yang direkodkan pada 2022.

5. Visi Tenaga Net Zero 2040

Air Selangor turut melancarkan Visi Tenaga Net Zero 2040 bagi mencapai penggunaan tenaga yang lestari dan sifar karbon menjelang 2040.

Melalui visi ini juga, Air Selangor bakal menjana 1,460GWh elektrik hijau setiap tahun sekali gus mengurangkan sehingga 1.1 bilion kilogram pelepasan gas karbon dioksida.

Ia juga bagi mengurangkan sebanyak 15 peratus Indeks Tenaga Korporat dalam tempoh 15 tahun akan datang.

6. Membantu komuniti

Air Selangor melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara juga menyumbangkan sejumlah RM437,737 bagi membantu lebih 1,700 keluarga, individu dan rumah kebajikan.

7. Skim Air Darul Ehsan (SADE)

Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor ini turut dimanfaatkan oleh 285,673 penerima.

Ia bertujuan memastikan golongan kurang bernasib baik diberikan akses air bersih yang terawat dengan kos lebih RM30 juta ditanggung oleh kerajaan negeri setiap tahun.

Pendapatan tahunan meningkat

Pencapaian ini jelas menunjukkan Air Selangor bukan sahaja komited dalam menyepadukan inisiatif kelestarian operasi, bahkan memastikan tadbir urus yang kukuh, amalan perniagaan yang beretika serta pembiayaan secara mampan.

Buktinya, pada tahun 2023, Air Selangor mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.82 billion dengan peningkatan sebanyak 15.1 peratus daripada tahun sebelumnya.

Peningkatan itu adalah hasil daripada pelbagai pendapatan operasi Air Selangor.

Demi merealisasikan impian menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030,  Air Selangor terus komited dalam menggerakkan usaha dan inisiatif menyediakan khidmat terbaik buat pelanggan mereka.

Bagi mendapatkan akses penuh Laporan Kelestarian 2023 layari laman sesawang Air Selangor sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:11 AM