MARTINEZ (kiri) meledak dua gol ketika Argentina kalahkan Peru. FOTO AFP
MARTINEZ (kiri) meledak dua gol ketika Argentina kalahkan Peru. FOTO AFP
AFP

Miami: Argentina mengetepikan masalah ketiadaan Lionel Messi akibat kecederaan untuk mengekalkan permulaan sempurna di Copa America dengan kemenangan 2-0 ke atas Peru di Miami.

Lautaro Martinez menjaringkan dua gol di Stadium Hard Rock untuk memastikan kemenangan yang membolehkan Argentina mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A.

Dengan Messi diketepikan selepas mengadu sakit hamstring kanan, dan jurulatih Lionel Scaloni menjalani penggantungan satu perlawanan, Argentina melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama mereka.

Bagaimanapun, di sebalik barisan pemain kelihatan seperti skuad sementara, Argentina sentiasa mengawal permainan menentang Peru yang mengecewakan selepas hanya melakukan satu rembatan ke arah gol.

Gol pertama Martinez hadir selepas rehat separuh masa apabila hantaran dari Angel Di Maria membolehkan penyerang Inter Milan itu, tenang melakukan penyudah menewaskan penjaga gol Peru, Pedro Gallese.

Argentina berpeluang menggandakan jaringan pada minit ke-72 selepas bola terkena tangan Jesus Castillo dalam kawasan penalti.

Bagaimanapun, sepakan yang diambil Leandro Paredes gagal disempurnakan dengan baik apabila bola terkena tiang.

Martinez kemudian menyambar gol kedua pada minit ke-86, selepas menerima hantaran jauh sebelum menewaskan Gallese.

Tayangan semula menunjukkan Martinez kelihatan menolak pertahanan, Aldo Corzo dalam perebutan tetapi pengadil Cesar Ramos mengendahkan bantahan Peru dan gol itu kekal.

Argentina kini akan menentang naib juara Kumpulan B pada suku akhir di Houston Jumaat depan, kemungkinan besar bertemu sama ada Ecuador atau Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:43 AM