SELEBRITI, Daphne Iking (kiri) dan rakannya menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO Daphne Iking
SELEBRITI, Daphne Iking (kiri) dan rakannya menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO Daphne Iking
Avila Geraldine


JADUAL kerja yang padat dan perlu hadir konsert Bruno Mars, tidak menghalang selebriti Daphne Iking pulang ke Sabah untuk mengundi di Parlimen Penampang.

Personaliti televisyen kelahiran Keningau itu yang tinggal di Kuala Lumpur mengambil penerbangan jam 7.25 pagi tadi dari ibu kota ke ke Kota Kinabalu bersama suami merangkap pengurusnya, Azmi Abdul Rahman dan anak lelaki mereka, Isidore Daniel, berusia dua tahun.

"Walaupun ini kali ketiga saya mengundi, namun saya tetap hampir mengalirkan air mata. Saya bangga sebagai rakyat Malaysia kerana berpeluang mengundi.

"Dalam semua pilihan raya yang pernah saya lihat sebelum ini, kali ini lebih rasa teruja," katanya ketika dihubungi NSTP menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Daphne yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, Penampang, mengakui dia memutuskan untuk mengundi berdasarkan calon dan bukannya parti.

"Bagi saya, adalah penting kepada pemimpin untuk mencari jalan bagaimana membaiki kehidupan masyarakat walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza," katanya.

Daphne berkata, dia sempat makan tengah hari bersama keluarga sebelum menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur untuk hadir konsert Bruno Mars.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 5:05 PM