Konsert Ungu jatuh pada 19 November.
Konsert Ungu jatuh pada 19 November.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Nasib konsert ulang tahun ke-26 kumpulan popular Indonesia, Ungu yang jatuh pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini bakal ditentukan Selasa ini.

Pengurus promosi Suria Records Sdn Bhd (SRC), Mickey Sharum berkata, satu mesyuarat khas bakal diadakan membabitkan pihak SRC dan penganjur Star Planet selepas mengambil kira kegusaran peminat yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan konsert Ungu pada 18 dan 19 November ini.

"Ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU-15, kami amat terkejut kerana tarikh itu bertembung dengan penganjuran konsert Ungu di sini.

"Kami faham kegusaran orang ramai yang sudah membeli tiket serta pihak-pihak berkaitan yang terbabit dalam konsert ini. Jadi satu mesyuarat khas akan diadakan Selasa ini bagi membincangkan perkara ini.

"Segala pengumuman berkaitan konsert Ungu akan dikongsikan nanti," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mickey, banyak perkara perlu dinilai dan dititikberatkan memandangkan ramai yang akan pulang ke kampung untuk mengundi. Bagaimanapun pihaknya juga perlu melihat jadual kumpulan Ungu yang kini sibuk dengan konsert jelajah.

"Selain peminat yang sudah membeli tiket, kami juga risau mengenai kehadiran media serta kru yang terbabit kerana pasti ramai akan pulang ke kampung untuk mengundi.

"Bagaimanapun sebarang keputusan yang bakal diputuskan perlu juga disemak dengan pihak Ungu kerana mereka kini sedang sibuk dengan konsert jelajah sempena ulang tahun ke-26 kumpulan itu," katanya.

Terdahulu, Ungu 26th Anniversary Concert Live In Malaysia 2022 yang akan berlangsung di STAR Convention & Exhibition Centre, Menara PGRM, Cheras, di sini, sepatutnya diadakan pada 18 November, namun ditambah sehari pada 19 November susulan tiket konsert 'laku keras'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 4:39 PM