CALON PH, Joohari (lima dari kiri) bersama kepimpinan Pakatan Harapan pada Pelancaran Iltizam Cikgu Joohari pada Ceramah Perpaduan sempena PRK DUN Sungai Bakap di Taman Tasek Indah.  FOTO Danial Saad
CALON PH, Joohari (lima dari kiri) bersama kepimpinan Pakatan Harapan pada Pelancaran Iltizam Cikgu Joohari pada Ceramah Perpaduan sempena PRK DUN Sungai Bakap di Taman Tasek Indah. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Misi untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kembali ke pangkuan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 6 Julai ini dilihat semakin cerah.

Pengarah PRK PH, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata berdasarkan culaan (kaji selidik), pihaknya mendapati respon pengundi Umno terhadap calon Perpaduan Dr Joohari Ariffin amat positif.

Katanya, momentum itu sekali gus menampakkan peluang cerah seterusnya dapat mengembalikan semula kerusi Sungai Bakap kepada PH.

"Keadaan sekarang kita nampak positif dengan gerak kerja yang dilancarkan bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) dan Umno di lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Insya-Allah kita nampak akan beroleh kejayaan pada 6 Julai ini," katanya ketika diminta mengulas berhubung dakwaan akan berlaku peralihan undi ahli Umno bagi PRK Sungai Bakap selepas Ceramah Perpaduan di Padang Lalang, Simpang Ampat, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, berbaki seminggu lagi kempen jentera perpaduan akan meneruskan program menyantuni pengundi termasuk ceramah.

"Dalam tempoh (kempen) berbaki beberapa hari lagi kita akan teruskan kerja siang dan malam termasuk mengadakan ceramah kelompok," katanya.

Terdahulu media melaporkan Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yakin pengundi dalam kalangan ahli Umno akan mengekalkan gelombang peralihan undi kepada parti itu pada PRK Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:19 AM