KANAK-kanak menyelamatkan diri dari kejiranan Tuffah di timur Gaza menuju barat Gaza. FOTO AFP
KANAK-kanak menyelamatkan diri dari kejiranan Tuffah di timur Gaza menuju barat Gaza. FOTO AFP
AFP

Semenanjung Gaza, Wilayah Palestin: Letupan, serangan udara, dan tembakan menggegarkan utara Gaza pada Sabtu, hari ketiga operasi ketenteraan Israel.

Ia menyebabkan puluhan ribu penduduk Palestin terpaksa menyelamatkan diri, memburukkan lagi krisis kehidupan yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai 'di luar kemampuan manusia untuk menanggungnya' di wilayah itu.

Seorang wartawan AFP melaporkan letupan dari kawasan Shujaiya berhampiran Bandar Gaza dan seorang penduduk berkata, mayat dilihat bergelimpangan di atas jalan.

Sayap bersenjata Hamas dan pejuang Palestin, Jihad Islam mengesahkan mereka terbabit dalam pertempuran dengan tentera Israel.

Tentera Israel berkata pertempuran di atas dan di bawah tanah (terowong) di Shujaiya menyebabkan 'sebilangan besar' pejuang terbunuh.

Katanya, 'puluhan pejuang terbunuh' dan senjata, dron dan pos pemerhatian ditemui, selain pelancar roket jarak jauh dan laluan masuk ke terowong.

Tentera Israel pada Sabtu melaporkan dua askar terbunuh, manakala dua parah dalam pertempuran di utara Gaza.

Pertempuran berlaku semula beberapa bulan selepas Israel mengisytiharkan struktur perintah pejuang Hamas dimusnahkan di utara.

Ahad lalu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata 'fasa sengit' perang semakin reda selepas hampir sembilan bulan, bagaimanapun pakar melihat fasa seterusnya yang berpotensi berpanjangan.

Konflik di Gaza turut menyebabkan ketegangan yang memuncak di sempadan utara Israel dengan Lubnan, menyebabkan Iran pada hari Sabtu memberi amaran tentang perang 'melenyapkan' jika Israel menyerang Lubnan.

Pada Jumaat, tentera Israel berkata, ia sedang melakukan 'serbuan bersasar' yang disokong oleh serangan udara terhadap Hamas di kawasan Shujaiya.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menganggarkan 'kira-kira 60,000 hingga 80,000 orang sudah dipindahkan' dari kawasan itu minggu ini.

Imej AFPTV pada Sabtu menunjukkan lelaki memindahkan barang-barang di atas kereta keldai, orang ramai ditolak dengan kerusi roda dan kanak-kanak dengan beg galas melalui kawasan runtuhan.

"Saya lihat kereta kebal melepaskan tembakan di hadapan masjid Shuhada ke arah sasaran.

"Ada yang syahid di jalanan," kata Abdelkareem al-Mamluk.

Di kawasan lain, agensi pertahanan awam Gaza pada Sabtu, berkata empat mayat dikeluarkan dari sebuah apartment selepas serangan Israel di wilayah tengah.

Di Rafah, saksi melaporkan kematian dan kecederaan selepas pencerobohan baharu Israel.

Pengarah pusat perubatan di Al-Maghazi, tengah Gaza, Tarek Qandeel berkata, bangunan rosak teruk apabila rumah di kawasan kejiranan dibom.

PBB dalam laporan pada Jumaat yang memetik kementerian kesihatan Gaza, berkata 'kira-kira 70 peratus infrastruktur kesihatan sudah musnah'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:50 AM