Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur : Persembahan Music of The Soul An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap diteruskan mengikut perancangan iaitu pada 5 dan 6 November depan.

Siti berkata, acara itu tidak bertembung dengan mana-mana program lain seperti yang dikhuatiri pada awalnya kecuali Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 5 November.

"Ramai yang bertanyakan mengenai penganjuran persembahan eksklusif saya, Music Of The Soul yang diadakan pada 5 dan 6 November ini, apakah ada penangguhan dan sebagainya.

"Persembahan dua hari ini akan berlangsung mengikut jadual, tetap diadakan pada tarikh itu selain tidak juga bertembung dengan hari mengundi PRU-15 pada 19 November seperti persembahan saya di Persada Johor.

"Kita jumpa pada 5 dan 6 November ini. Ada sedikit saja lagi tiket, jangan lepaskan peluang menonton persembahan saya," katanya.

Selain Siti, persembahan itu turut menampilkan penyanyi terkenal Datuk Awie sebagai undangan istimewa.

Sementara itu, Siti turut berkongsi tarikh baharu bagi persembahan Nite to Remember Datuk Seri Siti Nurhaliza yang diadakan di Persada Johor iaitu pada 16 dan 17 Disember depan.

Mengikut jadual asal, persembahan yang turut menampilkan penyanyi jemputan Khai Bahar dan Aina Abdul itu diadakan pada 18 dan 19 November depan yang mana jatuh pada tarikh mengundi PRU 15.

"Alhamdulillah, pihak Persada Johor dah mengumumkan tarikh baru persembahan saya kerana tarikh asal untuk persembahan hari kedua saya sebelum ini jatuh pada tarikh hari mengundi. Kepada sesiapa yang sudah membeli tiket boleh berhubung terus dengan penganjur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 1:28 PM