Kumpulan Gigi dari Indonesia.
Kumpulan Gigi dari Indonesia.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Konsert Gigi Nakal yang menampilkan kumpulan popular Indonesia, Gigi di Zepp Kuala Lumpur, di sini, pada 5 November ini tetap diteruskan walaupun tarikh itu disebut-sebut sebagai tarikh mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia selaku penganjur, Haniff Hamzah berkata, jika tarikh mengundi jatuh pada hari itu, ia tidak mendatangkan masalah kerana peminat yang sudah membeli tiket tetap boleh hadir kerana konsert bermula pada sebelah malam.

"PRU-15 adalah tanggungjawab kita bersama sebagai rakyat. Mungkin kalau ia berlaku, ini akan menjadi kelainan bila kita dapat lihat penonton yang datang, semuanya dengan jari bertanda dakwat," katanya.

Menurutnya, semuanya adalah atas perancangan peribadi peminat dan belum ada perancangan untuk pemulangan wang pembelian tiket sekiranya tarikh konsert bertindih dengan PRU-15.

"Pihak kami faham setiap individu perlu mengundi di kawasan yang didaftarkan dan mungkin di luar Lembah Klang dan Selangor. Itu adalah atas perancangan sendiri. Setakat ini, kalau untuk pemulangan wang pembelian tiket kepada mereka yang perlu mengundi di luar kawasan, mungkin tidak ada keperluan.

"Namun, sekiranya ada sesiapa yang dah beli tiket dan ada kerisauan, boleh emel kami dan kita bincangkan apa yang boleh dilakukan," katanya.

Haniff berkata, bukanlah sukar atau mustahil untuk seseorang kembali ke Kuala Lumpur sekiranya lokasi mengundi masih dalam Semenanjung Malaysia.

"Cuma, jika di Sabah dan Sarawak mungkin agak mustahil. Ada kenalan saya yang maklumkan, akan pulang mengundi di Johor Bahru dan akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menonton konsert. Apa pun, yang penting jangan lupa jalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk mengundi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 1:44 PM