Joohari Ariffin (kanan) dan Abidin Ismail.
Joohari Ariffin (kanan) dan Abidin Ismail.
KAFE AHAD

Berbaki seminggu, bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap kian terasa.

Dengan jentera kempen sibuk dengan pelbagai program untuk bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan itu, tumpuan kini terarah kepada calon iaitu DR JOOHARI ARIFFIN yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan ABIDIN ISMAIL dari Perikatan Nasional (PN).

Pelbagai kisah dikongsikan kedua-dua mereka termasuk cabaran dan pengalaman berkempen, penjelasan isu setempat serta perancangan untuk kawasan berkenaan sekiranya diberi mandat oleh pengundi.

Ketika ini jentera kedua-dua parti dari seluruh negara berkampung di kawasan Segitiga Utara itu untuk membantu calon memberikan penerangan isu-isu semasa kepada rakyat.

Antara isu yang dijangka mencuri perhatian adalah peluang ekonomi selain infrastruktur yang lengkap untuk kemudahan kepada penduduk tempatan.

Wartawan ZUHAINY ZULKIFFLI mendapatkan Dr Joohari dan Abidin untuk berkongsi iltizam mereka serta perancangan untuk Sungai Bakap jika terpilih mewakili Dun berkenaan 6 Julai nanti untuk Kafe Ahad minggu ini.

DR JOOHARI

Bagaimana dengan kempen setakat hari ini, saudara berpuas hati?

Saya menghadiri sekitar 12 program sehari yang diatur dan disusun jentera sepanjang tempoh berkempen. Jadual pada hujung minggu ini agak padat bagi bertemu semua pengundi sebelum kempen berakhir. Sejak kempen hanya tidur tiga jam sehari, tetapi itu tak jadi penghalang untuk saya. Saya turut mengamalkan pengambilan supplement (makanan) tambahan untuk menjaga stamina dan kesihatan.

Secara umumnya, apa yang saudara akan lakukan di Sungai Bakap ini jika diberi mandat?

Matlamat saya pada masa ini mahu mengutamakan masalah yang membelenggu penduduk yang memerlukan perhatian segera. Ini adalah aspirasi yang diutamakan oleh saya berikutan isu prasarana sering menjadi masalah kepada masyarakat kita.

Secara peribadi, apa keistimewaan Dun sungai Bakap di hati saudara?

Saya bukan saja membesar di Sungai Bakap malah selepas menamatkan pelajaran, malah memulakan khidmat di sebahagian sekolah di sekitar Nibong Tebal.

Sungai Bakap menjadi tempat saya beroleh ilmu dan menyampaikan ilmu kepada pelajar saya. Keistimewaan Dun Sungai Bakap bagi saya ialah kita ada kualiti durian Musang King dan Duri Hitam antara yang terbaik di Malaysia.

Kita ada juga hutan negeri. Jadi di Sungai Bakap ini ada keindahan alam semula jadi dan antara kawasan pelancongan.

Bagaimana sokongan diterima daripada pengundi setakat ini?

Saya bersyukur sepanjang berkempen tiada (pengundi) yang menolak (kehadiran saya) tetapi semua mengatakan sokongan dan mereka selalu sebut 'Cikgu Joohari nombor satu'…Itulah yang menarik semangat saya.

Apakah harapan saudara pada PRK Sungai Bakap ini?

Pengundi yang mahukan wakil rakyat kerap turun padang selepas PRK dan permintaan itu rasional malah menjadi iltizam kepada saya. Dengan turun padang, kita jadi wakil mereka, bukan kita diangkat untuk singgah sana sini sebaliknya kena turun ke bawah (temui pengundi) dan itu juga iltizam saya sebenarnya.

ABIDIN

Bagaimana dengan kempen setakat hari ini, saudara berpuas hati?

Alhamdulillah setakat hari ke-7 berkempen, semuanya berjalan lancar dan respon daripada pengundi amat baik.

Secara umumnya, apa yang saudara akan lakukan di Sungai Bakap ini jika diberi mandat?

Memberi khidmat kepada rakyat yang memerlukan bantuan sebaik mungkin, menjadi pemudah cara antara rakyat dan agensi berkaitan.

Secara peribadi, apa keistimewaan Dun Sungai Bakap di hati saudara?

Sebagai anak tempatan yang lahir dan membesar di Sungai Bakap, ramai saudara dan rakan-rakan saya di sini. Sungai Bakap sentiasa di hati saya.

Bagaimana sokongan diterima daripada pengundi setakat ini?

Alhamdulillah sokongan yang amat baik, merentasi kaum. Insya-Allah, hubungan ini akan berterusan.

Apakah harapan saudara pada PRK Sungai Bakap ini?

Harapan saya, semoga semua pengundi di Dun Sungai Bakap akan keluar mengundi seramai mungkin pada 6 Julai ini.

Kepada pengundi yang berada di luar, pulanglah untuk mengundi. Insya-Allah manifesto akan diumumkan oleh pimpinan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:01 AM