LOZANO (tengah) berazam untuk membawa pasukannya mara ke pusingan seterusnya. FOTO
LOZANO (tengah) berazam untuk membawa pasukannya mara ke pusingan seterusnya. FOTO
Reuters

Arizona: Mexico berdepan Ecuador dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Copa America esok dan jurulatih Jaime Lozano, yang berazam untuk membawa pasukannya mara ke pusingan seterusnya, mengakui mesti menang kerana 'bermain untuk hidup mereka'.

Mexico, yang tewas 0-1 kepada Venezuela, mempunyai tiga mata dalam Kumpulan B dan mesti menewaskan Ecuador, juga dengan tiga mata, untuk layak ke suku akhir.

"Esok kedua-dua pasukan akan bermain untuk hidup mereka, ia akan menjadi 90 minit yang sengit. Kami tahu kami perlu menang, keputusan yang penting bagi kami, kami bergantung pada diri kami sendiri, kami perlu bijak," kata Lozano pada sidang media.

"Suasananya bagus. Saya tenang kerana apa yang ditunjukkan oleh pasukan di atas padang dan apa yang meyakinkan saya ialah mereka kuat," tambahnya.

Jurulatih itu, yang mendapat kritikan selepas kekalahan kepada Venezuela dan prestasi buruk sebelum ini seperti kekalahan kepada Amerika Syarikat dalam perlawanan akhir Liga Negara Konfederasi Persatuan Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (Concacaf) pada Mac, ditanya mengenai masa depannya di teraju.

"Keputusan (meninggalkan skuad) bukan pada saya. Sebagai jurulatih anda tahu anda memerlukan keputusan dan kami perlu mengutip mata," tambah Lozano.

Ecuador boleh mara ke peringkat lapan terakhir dengan perbezaan gol, manakala jika Mexico menang dan menduduki tempat kedua dalam Kumpulan B, mereka boleh menentang Argentina pada pusingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:00 AM