WALTERS jaring dua gol Ireland.
WALTERS jaring dua gol Ireland.
AFP

Dublin: Martin O’Neill pantas menghamburkan pujian buat anak buahnya selepas Ireland melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Eropah tahun depan.

Pengurus Ireland itu melakar senyuman bangga selepas kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Bosnia-Herzegovina sekali gus mencatat agregat 3-1 untuk membolehkan mereka beraksi di Perancis.

Gol setiap babak menerusi penyerang Stoke City Jon Walters membezakan kedua-dua pasukan pada perlawanan itu tetapi O’Neill memuji usaha keras pasukannya sepanjang kempen terutama apabila mereka hampir tersingkir, Jun lalu gara-gara seri 1-1 dengan Scotland di Dublin.

Sejak itu, Ireland menundukkan Gibraltar, Georgia dan juara dunia, Jerman bagi menduduki tangga ketika Kumpulan D sebelum menamatkan kempen kelayakan menerusi kemenangan di Lansdowne Road.

“Tidak ada sebab untuk saya tidak berbangga dengan pasukan ini,” kata O’Neill. “Mereka kelompok pemain yang hebat dan berjuang bermati-matian demi negara. Semangat seperti itu sangat penting.

“Mereka sudah memberikan segala-galanya dan saya tidak fikir mereka masih ada aksi yang belum dipersembahkan.

“Perlawanan menentang Scotland yang sepatutnya kami menang memberi tekanan ketika masih berbaki empat perlawanan. Tapi kami masih boleh menentukan nasib sendiri.

“Kami duduk berbincang dan sedar masa depan pasukan ini terletak di tangan kami sendiri. Ia bermakna kami perlu menang dua perlawanan seterusnya, Gibraltar dan Georgia serta menang satu daripada dua perlawanan terakhir.

“Tugas sukar tapi pemain saya tidak mengalah. Jaringan Shane Long ketika bertemu Jerman memberikan kami peluang untuk menentang Bosnia dan kami tetap tidak mudah menyerah.”

Layak ke pusingan akhir pada kempen pertamanya selaku pengurus membolehkan O’Neill muncul jurulatih Ireland keempat layak ke pusingan akhir kejohanan utama tetapi beliau pantas menolak sebarang pujian sebaliknya mahu menumpukan perhatian kepada pemainnya.

“Ia bukan mengenai saya. Perlawanan ini adalah mengenai pemain dan saya hanya dapat memuaskan hati sendiri. Bukan mahu bersikap pentingkan diri tapi saya gembira melihat kesungguhan pemain yang beraksi penuh semangat pada setiap perlawanan,” katanya.

“Sebaik mendengar tiupan wisel penamat dan anda sah layak ke Perancis, ia memberikan sesuatu yang sangat istimewa.

“Saya rasa pencapaian itu menjadi lebih istimewa kerana membawa makna sangat besar buat ramai orang terutamanya pemain dan negara secara amnya.”

Sementara itu, jurulatih Bosnia Mehmed Bazdarevic meluahkan rasa kecewanya terhadap pengadil Bjorn Kuipers yang menghadiahkan penalti pada babak pertama kepada pelawat selain menganggap pasukannya tidak begitu bernasib baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:46 AM