PEMAIN Jerman menerima arahan  jurulatih semasa sesi latihan di Frankfurt, kelmarin.
PEMAIN Jerman menerima arahan jurulatih semasa sesi latihan di Frankfurt, kelmarin.
AFP

Berlin: Jerman akan berdepan Republik Ireland di gelanggang lawan awal pagi esok dan sekurang-kurangnya satu mata di Dublin sudah memadai untuk mengesahkan tempat mereka ke pusingan akhir Euro 2016 namun skuad juara dunia itu memiliki misi lebih besar iaitu menghalang Poland daripada muncul juara kumpulan.

“Kami tidak mahu bermain untuk seri. Sasaran kami menang perlawanan itu dengan kualiti yang kami miliki,” kata pemain tengah Jerman, Ilkay Gundogan menjelang pertemuan di Stadium Aviva, awal pagi esok.

Jerman mengatasi Poland dengan kelebihan dua mata di persada Kumpulan D tetapi jika hanya seri di Dublin, laluan untuk Poland mengetuai kumpulan akan terbuka andai pasukan itu mengatasi Scotland di Glasgow pada hari sama.

Jerman dijangka tidak berdepan masalah menang menentang Ireland yang dibimbing Martin O’Neil walaupun tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-90 ketika kedua-dua pasukan seri 1-1 di Gelsenkirchen, Oktober lalu.

“Kami tahu apa yang perlu dijangka, kami perlu terus bersabar seperti yang kami lakukan ketika menang 3-2 di Scotland sambil menunggu peluang kami,” kata pertahanan tengah Jerman, Jerome Boateng.

Dua hantaran jarak jauh bintang Bayern Munich itu membantu jaringan yang membolehkan kelab Bavaria itu menang 5-1 ke atas Borussia Dortmund, Ahad lalu dan dia juga turut menyarung jersi Jerman apabila membelasah Ireland 6-1 pada kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2012.

“Saya harap kami akan menerima keputusan sama seperti yang pernah kami capai sebelum ini,” kata Boateng yang akan menyarung jersi negaranya buat kali ke-55.

Lukas Podolski tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang Ireland dan Georgia Ahad ini di Leipzig gara-gara kecederaan buku lali kiri dan penyerang itu sudah pulang ke kelabnya, Galatasaray untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 7:10 AM