Reuters

IRELAND: Skuad Ireland bakal kehilangan khidmat pertahanan Richard Keogh, pemain tengah James McCarthy (gambar) dan penyerang Sean Maguire untuk aksi playoff Piala Dunia menentang Denmark yang memulakan aksi pertamanya Sabtu ini.

Keogh mengalami masalah pangkal paha manakala McCarthy dan Maguire berdepan kesakitan hamstring, menurut Persekutuan Bolasepak Ireland di laman web mereka awal pagi tadi.

Trio berkenaan berada dalam senarai awal 34 pemain dinamakan Martin O’Neill untuk dua perlawanan bermula di Stadium Parken, Copenhagen sebelum aksi timbal balik di Dublin tiga hari kemudian.

Keogh dikeluarkan ketika Derby County tewas kepada Reading dalam Liga Kejuaraan Sabtu lalu, manakala pemain Everton, McCarthy diketepikan sejak membuat penampilan tunggalnya musim ini, 25 Oktober lalu.

Bagaimanapun O’Neil berharap pemain tengah Burnley Jeff Hendrick akan cergas untuk aksi pertama selepas mengalami kecederaan pinggul ketika berdepan Southampton dalam aksi Liga Perdana, Sabtu lalu.

“Jeff dikeluarkan selepas beraksi selama 60 minit, dia mengalami masalah dan masih sakit-sakit ketika ini,” kata O’Neill.

“Katanya, keadaannya semakin baik jadi ia khabar gembira. Jika perlawanan diadakan pagi esok mungkin dia mengalami masalah tetapi dia dan pasukan perubatan terus berharap.”

O’Neill mengetepikan David McGoldrick, Jonny Hayes, Daryl Horgan dan Alan Browne daripada skuad yang terdiri daripada 27 pemain termasuk David Meyler yang akan diturunkan untuk aksi kedua selepas penggantungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 9:45 AM