LUKANISMAN Awang (dua kanan) pada majlis perasmian  Kongres ASEAN ke-13 dan Kongres Penjagaan Kesihatan Perak ke-10 di Ipoh. L Manimaran
LUKANISMAN Awang (dua kanan) pada majlis perasmian Kongres ASEAN ke-13 dan Kongres Penjagaan Kesihatan Perak ke-10 di Ipoh. L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya boleh mengambil tindakan penguatkuasaan jika berlaku pelanggaran peraturan tatacara pengendalian makanan bermasak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM memang menerima aduan berkaitan peniaga durian yang mempromosikan jualan dengan tidak memakai baju untuk menayangkan badan 'sado' mereka.

Walaupun menganggap promosi sebegitu sangat tidak wajar, Lukanisman berkata, KKM hanya mengambil tindakan jika kesalahan dilakukan membabitkan makanan bermasak.

"Saya pun baru nampak video itu, memang tidak wajar dan kami memang menerima aduan secara dalam talian daripada netizen. Memang tidak sesuai penjual makanan memaparkan keadaan tidak berpakaian.

"(Namun) penjualan ia membabitkan buah-buahan dan bukan penyediaan makanan bermasak. Jika aduan membabitkan makanan bermasak, kita akan siasat seperti contoh tidak memakai apron yang mana itu memang prosedur kita amalkan," katanya selepas merasmikan Kongres Asean ke-13 dan Kongres Kesihatan Perak ke-10 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JKN Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha.

Terdahulu, tular di media sosial sekumpulan penjual durian tidak memakai baju bagi menarik perhatian ramai selepas video dimuat naik di TikTok milik gerai terbabit.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, berdasarkan maklum balas diterima, video berkenaan dibuat adalah hanya untuk paparan media sosial.

"Mereka sudah menjawab bahawa itu adalah untuk 'content' tetapi perkara itu memang tidak digalakkan. Sekiranya terdapat tindakan yang boleh diambil, kita akan mengambil tindakan terbabit," katanya.

Abang sado tarikan utama gerai Durian Papa Muda

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:05 PM