GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tiga syarikat yang menjalankan aktiviti pembuatan minyak sawit mentah, produk getah dan makanan masing-masing didenda RM20,000 dan RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas kesalahan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad, berkata hukuman diputuskan Hakim Mazni Nawi selepas semua wakil iaitu Hidayah Md Said, Wan Rozina Wan Yusoff dan L Kandsany, selaku orang kena saman, mengaku salah atas pertuduhan dihadapi.

Katanya, ketiga-tiga syarikat terbabit masing-masing beroperasi di atas Lot 514 & 515, Kampung Tong, Gemas di Tampin, Lot 62 & 63 Lorong Senawang 3/2, Kawasan Perindustrian Senawang dan PT 29516, Lengkok Teknologi 2, Techpark@Enstek, Bandar Enstek, Nilai.

"Syarikat pembuatan minyak sawit mentah dituduh di bawah Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16(2) akta yang sama kerana gagal mematuhi syarat lesen bagi had pelepasan BOD dan pepejal.

"Manakala syarikat pembuatan produk getah dituduh di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 bagi kandungan BOD5 pada 20C yang mempunyai kepekatan 110 mg/L melebihi 50 mg/L yang ditetapkan.

"Syarikat pembuatan makanan pula membabitkan kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(a) dan Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 yang mengandungi kandungan BOD5 pada 20C kepekatan sebanyak 210 mg/L melebihi 20 mg/L dan COD kepekatan 405 mg/l melebihi 80 mg/L," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, hukuman maksimum bagi setiap kesalahan adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Hamzah berkata, pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Muhammad Fitri Soroni dan Zainoorliza Zainal Abidin manakala kesemua wakil syarikat terbabit tidak diwakili peguam.

"Keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia menunjukkan premis terbabit telah membuang efluen perindustrian melebihi had kepekatan yang ditetapkan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 2:58 PM