REAKSI McAuley (tengah) selepas tertampan bola ke gawang sendiri.
REAKSI McAuley (tengah) selepas tertampan bola ke gawang sendiri.
Reuters

Paris: Ireland Utara mungkin memerlukan tempoh yang agak panjang untuk melupakan episod malang apabila jaringan sendiri menyaksikan mereka tersingkir daripada kempen Euro kali ini selepas tewas 1-0 kepada Wales, awal pagi semalam.

Ireland mempunyai peluang terbaik pada babak pertama aksi pusingan kedua di Parc des Princes itu sebelum tonggak pertahanan Gareth McAuley melakukan kesilapan besar apabila tertampan bola ke gawang sendiri berikutan hantaran lintang penyerang Wales, Gareth Bale.

“Ia perlawanan yang amat sengit. Kami pasukan yang lebih baik untuk sebahagian besar perlawanan. Kami berhak sekurang-kurangnya untuk pergi ke masa tambahan.

“Tapi apabila ia berakhir seperti yang berlaku hari ini (kelmarin), ia sangat kejam. Saya tidak fikir kekalahan ini adil untuk kami,” kata pengurus Ireland Utara, Michael O’Neill.

Jelas O’Neill, beliau tidak menyalahkan McAuley atas kesilapan besarnya itu yang menyaksikan pasukannya ditunjukkan jalan keluar yang juga pencapaian terbaik negara itu dalam mana-mana kejohanan utama sejak penampilan pada Piala Dunia 1986.

“Saya tidak akan menuding jari kepadanya. Insiden (gol sendiri) itu berlaku terlalu pantas dan dia tidak sempat untuk berfikir apa-apa,” katanya.

Ireland Utara yang mengamalkan corak permainan bertahan berjaya menamatkan kedudukan dalam Kumpulan C di tempat ketiga sekali gus layak ke pusingan kedua. Sekali lagi taktikal sama digunakan O’Neill dan pendekatan itu berjaya menyukarkan Wales daripada meraih jaringan.

“Dalam permainan bola sepak peringkat antarabangsa, saya fikir negara kecil seperti kami memerlukan taktikal yang bagus untuk tampil lebih kuat.

“Pemain menunjukkan semangat yang tinggi dan mereka nyata berbangga dapat berjuang untuk negara sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 8:55 AM