Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sanggup bergadai gelang dan rantai emas bagi membantu individu yang dilanda musibah.

Sifat mudah simpati dan kasihan itu dikesan membuka ruang kepada individu yang tidak bertanggungjawab untuk menangguk di air keruh dengan menggunakan alasan derma.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam menderma terutamanya jika ia membabitkan individu dan pertubuhan yang tidak berdaftar.

Menurutnya, masyarakat perlu memastikan mereka menderma dan memberi sumbangan kewangan hanya kepada pertubuhan yang didaftarkan dan yang menjalani proses audit.

Katanya, derma dan sumbangan kini tidak hanya membabitkan bantuan ketika bencana tetapi kini ia turut melibatkan perkara seperti bantuan bayaran yuran guaman dan sumbangan untuk pembelian haiwan bagi tujuan korban di luar negara.

"Orang ramai perlu tahu bagaimanana wang derma mereka digunakan. Akaun bank milik pertubuhan yang mengutip derma ini perlu menjalani proses audit bagi memastikan wang derma yang diterima disalurkan kepada pihak yang sepatutnya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa tangkapan membabitkan individu dan pempengaruh media sosial berkaitan penyelewengan wang derma baru-baru ini.

Semalam, suami isteri pempengaruh media sosial dipercayai terlibat dalam isu penyelewengan wang kutipan derma direman empat hari bagi membantu siasatan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memaklumkan pasangan berkenaan disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam sejak 2020 yang dianggarkan mencecah RM3 juta.

Pada 9 Julai lalu polis menahan seorang lelaki di kediamannya di Wangsa Maju di sini dipercayai terlibat dengan penipuan dalam urusan bayaran guaman dan kutipan dana sejak tahun lepas membabitkan kerugian lebih RM140,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:03 PM