MCCLEAN (tengah)jaring gol kemenangan Ireland. FOTO/AFP
MCCLEAN (tengah)jaring gol kemenangan Ireland. FOTO/AFP
AFP

CARDIFF, Wales: Pengurus Republik Ireland, Martin O’Neill gentar dengan setiap lawan berpotensi pada aksi play-off Piala Dunia namun selepas menewaskan Wales, beliau yakin semakin sedikit pasukan yang mahu bertemu dengan pasukannya.

Ireland menang 1-0 di Cardiff awal pagi tadi hasil rembatan James McClean pada minit ke-57 untuk berada di kedudukan kedua Kumpulan D sekali gus menyingkirkan Wales dan memastikan satu daripada lapan tempat pada aksi play-off zon Eropah bulan depan.

Itali dan juara Eropah, Portugal adalah antara pasukan yang mungkin bertemu dengan Ireland tetapi O’Neill yakin dengan kemampuan pasukannya selepas muncul pengurus pasukan lawan pertama menang perlawanan kompetitif di Stadium Cardiff City dalam tempoh empat tahun.

“Saya tidak rasa setiap orang mahu bermain menentang kami,” katanya.

“Adakah saya takut dengan pasukan lain? Sudah tentu setiap pasukan. Saya selalu bimbang dengan mereka. Itu apa yang sepatutnya. Kemudian kami perlu keluar dan menewaskan mereka.

“Saya tak rasa sesiapa mahu bermain menentang Itali atau Portugal, biarpun Portugal mungkin menewaskan Switzerland (dan layak secara automatik).

“Ada enam pasukan lagi yang saya tak mahu bertemu. Tapi saya gembira layak ke play-off.”

O’Neill menafikan peluang dua pemainnya yang cedera iaitu kapten Seamus Coleman dan Jon Walters untuk kembali cergas bagi dua aksi play-off bulan depan, dengan undian dilakukan pada 17 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 9:14 PM