Kuala Terengganu: Kerajaan negeri yakin pembinaan kompleks sukan dengan pelbagai prasarana di daerah Hulu Terengganu mampu membantu melahirkan lebih ramai atlet berkualiti.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu Datuk Rozi Mamat berkata pihaknya menjangkakan kompleks yang sedang dalam pembinaan dan menelan belanja kira-kira RM50 juta itu dijangka mengambil masa setahun untuk siap.

“Kompleks sukan itu akan lengkap dengan padang bola, trek olahraga, padang hoki serta boling padang manakala bagi dalam dewan pula, ia bakal dilengkapi gelanggang futsal, bola jaring dan badminton.

“Diharap dengan adanya kemudahan serta infrastruktur serba lengkap ini akan memudahkan penggiat sukan dari negeri dan daerah ini berlatih,” katanya.

Menurutnya kerajaan optimis melalui prasarana ini, lebih ramai atlet boleh diketengahkan ke peringkat tertinggi.

Dalam perkembangan lain, Rozi berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti kawasan berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak untuk membina gelanggang hoki yang menepati piawaian perlawanan antarabangsa.

“Kita lihat sekarang ini hoki makin diminati anak Terengganu dan sehubungan itu kita perlukan gelanggang yang menepati piawaian perlawanan,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:28 AM