JOHARI (depan tengah) bersama atlet selepas kejohanan.
JOHARI (depan tengah) bersama atlet selepas kejohanan.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kontinjen tuan rumah Kuantan dinobat juara keseluruhan Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) peringkat negeri di Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, kelmarin.

Sebelas kontinjen mewakili daerah negeri ini mengambil bahagian dengan lebih 800 peserta bersaing dalam tujuh acara, bola sepak sembilan sepasukan, futsal, bola jaring, sepak takraw, ping pong, bola keranjang dan hoki.

Tempat kedua milik kontinjen Maran.

Pemenang setiap acara menerima wang tunai antara RM1,000 hingga RM2,500 mengikut sukan dan jumlah atlet.

Penolong Pegawai JBS negeri, Sidi Lateh berkata, pertandingan kali ini lebih meriah terutama apabila jumlah acara ditambah kepada tujuh berbanding tiga sebelum ini.

Jumlah acara itu memberi peluang kepada setiap kontinjen membawa lebih ramai atlet dengan setiap pasukan diwakili sekurang-kuranya 50 atlet dan pegawai.

Katanya, untuk melancarkan lagi acara, beberapa tempat dipilih sebagai gelanggang pertandingan seperti Dewan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kompleks JBS negeri dan Padang Hoki Indera Mahkota.

“Sebagai penganjur, saya puas hati dengan jumlah penyertaan atlet yang bertambah tiga kali ganda berbanding sebelum ini.

“Usaha menyatukan generasi muda menggunakan gelanggang sukan dilihat semakin berjaya. Selepas ini, lebih banyak program sukan dan kursus akan dianjurkan JBS negeri,” katanya.

Sidi berkata, untuk memeriahkan pertandingan musim ini, pihaknya mengambil keputusan memperkenalkan piala juara keseluruhan yang menjadi milik Kuantan selepas muncul juara lima acara.

Majlis perasmian LSUS peringkat negeri disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Johari Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:07 AM