Ahmad Samsuri ketika Program MB Mari Kampung Kite, semalam. FOTO Imran Makhzan.
Ahmad Samsuri ketika Program MB Mari Kampung Kite, semalam. FOTO Imran Makhzan.
Helmy Abd Rahman


SEORANG individu bermurah hati menawarkan diri untuk membiayai pembinaan sebuah masjid di Marang.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, individu beragama Islam itu menyatakan hasrat murninya itu kepada kerajaan negeri.

“Individu berkenaan seorang Muslim, datang bertemu kami (kerajaan negeri) untuk menyatakan hasratnya membiayai pembinaan sebuah masjid di negeri ini.

“Susulan itu, kami bersetuju untuk membina sebuah masjid di Marang, namun lokasinya masih belum lagi ditentukan,” katanya dalam satu bual bicara di majlis Program MB Mari Kampung Kite, di Dewan Majlis Daerah Marang, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri berkata, daerah ini juga bakal menyaksikan kewujudan kompleks sukan mini bernilai RM4 juta yang tahun ini.

Katanya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kunjungannya ke Terengganu baru-baru ini meluluskan sembilan projek bernilai RM60 juta iaitu bagi projek baharu dan yang tertangguh selepas pertukaran kerajaan Pusat.

“Kompleks sukan ini adalah satu daripada 10 projek Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diluluskan untuk negeri ini bagi tahun ini.

“Menariknya, warga Marang juga menerima tambahan satu lagi projek iaitu kompleks sukan mini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 4:35 PM