AZHAR (kanan) bersama Pengarah JKR Terengganu, Datuk Shafii Mohamad (kiri) meneliti padang bola sintetik kedua di Terengganu.
AZHAR (kanan) bersama Pengarah JKR Terengganu, Datuk Shafii Mohamad (kiri) meneliti padang bola sintetik kedua di Terengganu.

Kuala Terengganu: Sebanyak 30 padang bola sepak rumput sintetik yang dibina di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di seluruh negara ini akan siap sepenuhnya menjelang tahun depan.

Timbalan Ketua Setiausaha KBS Datuk Azhar Mohamed Isa berkata, pihaknya sehingga kini sudah menerima sebahagian padang yang sudah siap dibina manakala selebihnya masih di peringkat pembinaan.

Menurutnya, pihaknya diberikan peruntukan RM50 juta untuk pembinaan prasarana di 30 lokasi terpilih di seluruh negara dan padang itu adalah satu usaha KBS memberi peluang kepada penggiat sukan bola sepak merasai kelainan bermain di atas padang sintetik.

“Setiap pembinaan padang mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk disiapkan dan sehingga kini, KBS sudah menerima 80 peratus daripada 30 padang yang dibina di seluruh negara.

“Pembinaan padang sintetik ini bersesuaian dengan usaha transformasi yang diperkenalkan kerajaan persekutuan dalam menyediakan kemudahan sukan lebih baik dan kemudahan ini menepati piawaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan padang bola sepak rumput sintetik di Padang Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:05 AM