Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kompleks Sukan Bukit Merbau bernilai RM270 juta yang terletak di Pasir Puteh, dekat sini akan mula dibina Januari tahun hadapan.

Ia bakal menjadi lokasi utama pertandingan bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 yang diadakan pada 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, ini kali pertama Kelantan menjadi tuan rumah dan pihaknya menyambut baik hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membina prasarana sukan di negeri berkenaan.

Katanya, kompleks sukan di kawasan seluas 66.4 hektar merangkumi stadium tertutup, padang hoki, tenis, dan padang sintetik itu sebagai persediaan Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2026.

"Insya Allah, kita akan menyiapkan kompleks ini enam bulan lebih awal sebelum temasya Sukma 2026 berlangsung dan berharap pembinaan kompleks sukan ini berjalan seperti dijadualkan.

"Kompleks ini mampu memuatkan sehingga 30,000 penonton dan pada masa sama, pembinaan kompleks sukan ini secara tidak langsung juga akan merancakkan lagi pembangunan sukan di Kelantan," katanya selepas Majlis Makan Malam Bersama Media Prima Berhad (MPB) di Hotel Perdana, di sini, malam tadi.

Turut hadir sama, Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar.

Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, dalam masa sama, pihaknya juga sedang giat membuat persiapan pelan pembangunan atlet iaitu mencari atlet berusia bawah 21 tahun khususnya yang sedang mewakili Kelantan bagi menyertai Sukma 2026.

"Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) juga sentiasa memantau perkembangan atlet bagi memastikan mereka berada pada tahap prestasi terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 9:09 AM
SYED Hussian Aljunid (kiri) dan Mohd Efendi (dua kanan) bersama Wan Roslan (kanan) ketika Majlis Makan Malam Bersama Media Prima Berhad (MPB). FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
SYED Hussian Aljunid (kiri) dan Mohd Efendi (dua kanan) bersama Wan Roslan (kanan) ketika Majlis Makan Malam Bersama Media Prima Berhad (MPB). FOTO Nik Abdullah Nik Omar.