TAN (dua dari kanan) memperkenalkan diesel Infiniti Euro 5.
TAN (dua dari kanan) memperkenalkan diesel Infiniti Euro 5.
Oleh Erywan Norshal


Pengenalan diesel Infiniti Euro 5 oleh Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) diyakini membuka lembaran baru industri automotif tempatan terutama dalam memperkenalkan kenderaan menggunakan enjin moden daripada bahan api berkenaan.

Ini berikutan enjin moden diesel yang banyak digunakan di Eropah adalah satu rangkaian kuasa terbaik dengan prestasi mengagumkan serta jimat minyak berbanding petrol.

Justeru pengenalan bahan api terbaru itu membuatkan beberapa kenderaan jenama premium sudah pun menanam hasrat untuk memperkenalkan model terbaru mereka sekiranya diesel bergred Euro 5 mula dipasarkan di negara ini.

Selaku syarikat petroleum pertama di Malaysia menawarkan bahan api itu, BHPetrol menyasarkan sebanyak 20 stesen di sekitar Lembah Klang menyediakan kemudahan diesel Infiniti Euro 5 pada akhir September depan.

Perbezaan utama antara diesel Euro 5 dengan Euro 2M yang diperkenalkan sebelum ini ialah kandungan sulfur. Bagi diesel Euro 5, ia hanya mengandungi 10 bahagian persejuta (ppm) sulfur berbanding 500 ppp bagi Euro 2M.

Oleh itu, diesel berkenaan lebih bersih dengan mengeluarkan emisi yang rendah untuk persekitaran, selain mampu memanjangkan hayat enjin dan meningkatkan kecekapan bahan api.

Selain itu, bahan api ditawarkan oleh BHPetrol turut diperkuatkan lagi de­ngan aditif Jerman dengan jumlah maksimum untuk menghasilkan prestasi tambahan.

Aditif Jerman sudah terbukti memberi keseimbangan prestasi dan ekonomi bahan api, serta memberikan jarak perjalanan lebih jauh. Ia dicapai melalui pelbagai faktor seperti pengurangan geseran dalaman dan pembersihan yang lebih efektif serta mampu mencegahkan pembentukan mendapan.

Sementara itu, Pengarah Runcit dan Bekalan BHPet­rol, James Khoo berkata, harga Infiniti Euro 5 Diesel dijual pada RM2.05 pada masa ini dan lebih mahal 10 sen berbanding diesel Euro 2M.

“Biarpun memperkenalkan produk baru, kami masih menawarkan diesel Euro 2M di stesen BHPetrol dan yakin akan membekalkan bahan api ini yang mencukupi kepada penduduk Lembah Klang,” katanya selepas pelancarannya di stesen BHPetrol Sungai Besi, di sini, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu turut disempurnakan oleh Pengarah Urusan BHPetrol, Tan Kim Thiam dan Pengurus Pemasaran Kanan BHPetrol, Baba Tan.

Sementara itu, Tan berkata, pengenalan Infiniti Euro 5 Diesel memberi imej baru kepada jenama berkenaan dengan menawarkan bahan api yang mesra alam berikutan kandungan sulfur rendah.

Menurutnya, pihaknya juga akan merancang memperluaskan tawaran diesel Infiniti Euro 5 ke stesen BHPetrol di pantai barat seperti Melaka tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:02 AM