Oleh Erywan Norshal


Petaling Jaya: Shell Malaysia melancarkan bahan api baharu menerusi Shell FuelSave Diesel Euro 5 di sini, hari ini.

Buat masa ini, bahan api itu hanya ditawarkan lima stesen Shell terpilih di Semenanjung Malaysia membabitkan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE); Rehat dan Rawat (RnR) Tapah, Perak; Hentian Sebelah Tanjung Malim, Perak; Bandar Ayer Keroh, Melaka dan Pasir Gudang, Johor.

Kelebihan diesel Euro 5 adalah kandungan sulfur lebih rendah dengan 10 bahagian per juta (ppm) berbanding bahan api sebelum ini iaitu 500ppm bagi Euro2M.

Ia membolehkan enjin moden dan sistem kawalan emisi untuk beroperasi secara optimum.

Selain itu, bahan api berkenaan mempunyai bahan pencuci khas bagi mengekalkan keadaan enjin dengan menghalang daripada mendapan pada bahagian pancitan.

Ia ditawarkan pada harga RM2 seliter dan lebih 10 sen berbanding Euro2M.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 9:41 PM