ROKIAH yang dilaporkan hilang sejak 23 Jun lalu di Pauh, Arau ditemukan selamat di Kodiang hari ini. FOTO Aizat Sharif
ROKIAH yang dilaporkan hilang sejak 23 Jun lalu di Pauh, Arau ditemukan selamat di Kodiang hari ini. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Arau: Misteri kehilangan wanita warga emas sejak 12 hari lalu selepas dipercayai keluar dari rumah suami di Kampung Katong, Pauh, di sini, terjawab selepas dia ditemukan selamat di sebuah pondok di kawasan sempadan Perlis-Kedah di Gua Kerbau, Kodiang, Kubang Pasu hari ini.

Adik ipar mangsa, Zunizam Ismail, 45, berkata, kakak iparnya, Rokiah Jaafar, 60 yang dikenali sebagai Kak Ma ditemui tinggal dalam sebuah pondok lama berhampiran gua itu oleh seorang rakannya yang mengerjakan tanaman padi di kawasan berkenaan, pagi ini.

"Alhamdulillah, kami bersyukur apabila Kak Ma ditemui semula dalam keadaan selamat.

"Saya dan ahli keluarga lain bergegas menjemputnya di pondok itu yang terletak 3.6 kilometer dari lokasi rumah suaminya ketika dia mula-mula hilang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ketika ditemui, kakak iparnya dalam keadaan sihat dan dia memaklumkan hanya makan nasi putih sehari sekali bagi mengalas perut selama 12 hari tinggal di pondok itu.

"Dari mana dia dapat nasi putih itu pun tidak diketahui dan kami tidak mahu tanya banyak soalan buat masa ini.

"Selain itu, kami sudah pun membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan buat masa ini, dia sedang berehat dan tinggal dengan kami.

"Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi ketika dihubungi mengesahkan penemuan warga emas yang dilaporkan hilang sejak 23 Jun lalu itu.

"Warga emas itu sudah pun dibawa ke HTF untuk pemeriksaan lanjut berhubung kesihatannya namun dia dilaporkan dalam keadaan baik.

"Kita masih lagi menyiasat punca kehilangannya itu buat masa ini," katanya.

Sebelum ini, Rokiah yang bekerja sebagai pembuat kerisik kelapa di Kampung Guring Bawah dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah suami di Kampung Katong, Pauh, di sini, sejak 23 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 9:44 PM