AKSI Harry Kane menjaringkan gol kemenangan England ke atas Slovakia.
AKSI Harry Kane menjaringkan gol kemenangan England ke atas Slovakia.
Agensi

Malorca: Bekas pengurus Liverpool Jurgen Klopp percaya prestasi England di Euro 2024 akan bertambah baik tetapi tidak memilih pasukan itu untuk muncul juara.

England mara ke suku akhir kejohanan di Jerman selepas bangkit mengatasi Slovakia di Gelsenkirchen Isnin lalu.

Skuad Gareth Southgate hampir tersingkir sehinggalah Jude Bellingham menyamakan kedudukan menerusi jaringan akrobatik pada masa kecederaan sebelum kapten Harry Kane menanduk masuk gol kemenangan.

England akan berdepan Switzerland pada suku akhir dan Klopp ditanya pendapatnya pasukan mana akan muncul juara.

Menurutnya kepada media Sepanyol, Klopp berkata: "Pada masa sekarang, saya nampak Sepanyol mampu melakukannya tetapi Jerman dan Perancis juga bagus. Peluang England sukar tetapi mereka akan bertambah baik."

Mengenai pasukan mana bakal menjuarai Copa America, Klopp memilih jawapan lebih berdiplomasi untuk tidak mengecewakan bekas pemainnya.

Klopp sambil tersenyum membalas: "Argentina atau Brazil. Atau Colombia. Atau Uruguay!". Dia menambah: "Saya berbalas mesej dengan Alisson tapi saya tak dapat buat keputusan."

Selain Alisson bersama Brazil, bintang Reds seperti Alexis Mac Allister, Luis Diaz dan Darwin Nunez kini beraksi dengan Argentina, Colombia serta Uruguay di Copa America.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 8:41 PM