KEBOCORAN pada tangki lama yang sudah tidak digunakan menjadi punca 39 individu mengalami pening dan mual. FOTO Ihsan JBPM Selangor
KEBOCORAN pada tangki lama yang sudah tidak digunakan menjadi punca 39 individu mengalami pening dan mual. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Sepang: Kebocoran tangki bahan kimia 'methyl mercaptan' (methanethiol) dipercayai punca kira-kira 39 mangsa mengalami pening kepala dan mual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata kebocoran berlaku pada sebuah tangki lama yang sudah tidak digunakan lagi.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada pekerja operasi Sepang Aircraft, MAS Engineering dan pekerja beberapa syarikat yang beroperasi di sekitar Southern Support Zone, di sini kira-kira 11 pagi.

"Pada jam 5 petang anggota Pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) berjaya mengesan kebocoran gas 'methyl mercaptan' di dalam tangki yang tidak digunakan dan kerja penutupan kebocoran sedang dijalankan.

"Bahan itu digunakan sebagai campuran kepada gas petroleum cecair (LPG) untuk memberikan bau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod LPG yang lazimnya digunakan sebagai gas memasak dan kegunaan lain secara semula jadi tidak mempunyai bau oleh itu dicampur dengan bahan kimia berkenaan sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kebocoran.

Mengulas lanjut Wan Md Razali berkata pihak syarikat berkenaan sedang dalam proses menampal kebocoran dan akan mengambil langkah berkaitan untuk melupuskan tangki terbabit.

Katanya, seramai 39 mangsa mengalami pening dan mual, daripada jumlah itu 24 sudah dibenarkan keluar, 14 lagi mangsa masih dirawat di Unit Bencana Udara (ADU) manakala seorang mangsa di Hospital Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 9:12 PM