USTAZ Don Daniyal. FOTO Arkib NSTP
USTAZ Don Daniyal. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Kehidupan perlu diteruskan. Barangkali ungkapan ini sesuai untuk menggambarkan keadaan pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 40, yang tetap bekerja seperti biasa selepas apa yang berlaku kini.

Meninjau ke akaun Instagram (IG) miliknya, Don Daniyal didapati aktif membuat kemaskini hantaran dan perkongsian terbaharu berkaitan aktiviti kerja yang membabitkannya.

Pengurusnya dikenali Ana berkata, dia amat berterima kasih atas keprihatinan terhadap Don Daniyal yang dimaklumkan tetap bekerja seperti biasa.

"Terima kasih atas keprihatinan. Ustaz (Don Daniyal) berkerja seperti biasa. Alhamdulillah.

"Mengenai semua aktiviti atau rancangan (Don Daniyal) boleh lihat di media sosial ustaz," katanya ringkas kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Terdahulu, dilaporkan buat masa ini Don Daniyal tidak akan muncul dalam segmen Don Give Up di stesen radio Suria FM yang bersiaran setiap Jumaat menerusi slot Morning-Morning Suria dari jam 8 hingga 9 pagi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan ringkas daripada sumber stesen radio terbabit yang memberitahu, pihak stesen hanya mematuhi arahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Difahamkan juga, Don Daniyal tidak akan muncul bersiaran dalam segmen Don Give Up itu mulai esok sehinggalah keputusan rasmi daripada pihak Jais.

Don Daniyal mengendalikan segmen Don Give Up bermula 1 Januari 2023 yang memerlukan dia menjawab persoalan mengenai kemusykilan agama daripada pendengar yang bersiaran setiap Jumaat.

Sebelum ini media juga melaporkan, Jais sudah mengeluarkan arahan pada 21 Jun lalu kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan serta tidak mengundang Don Daniyal.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama yang disampaikan Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Pada 5 Jun lalu, Don Daniyal 'direhatkan' daripada bersiaran di RTM untuk program Salam Baitullah 2024 terbitan stesen televisyen itu susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Keputusan itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi perkongsian dibuatnya dalam sosial media.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 11:21 PM