TAN Sri Noh Omar. FOTO Amirul Aian Hamsuddin
TAN Sri Noh Omar. FOTO Amirul Aian Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar hari ini mengumumkan menyertai Bersatu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak mengenai kebenaran kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Noh berkata, beliau mengambil keputusan drastik selepas kecewa dan sedih dengan nasib yang menimpa bekas Perdana Menteri itu yang perlu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

"Saya memohon untuk menyertai Bersatu secara dalam talian semalam dengan mengisi borang.

"Tiada siapa yang tahu. Kemudian saya terus dapat sijil menjadi ahli Bersatu," katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan, hari ini.

Pada 27 Januari lalu, media melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memecat keahlian Noh.

Keputusan itu dibuat selepas bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya memecat keahliannya terus daripada parti, selepas MKT memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.

Pemecatan dibuat adalah atas dakwaan beliau melakukan sabotaj parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Mengulas lanjut, Noh berkata walaupun keputusan untuk menyertai Bersatu agak berat dan lebih setengah tahun baru berbuat demikian kerana mengingati pesanan Najib yang ditemuinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebelum ini.

"Saya masih ingat pesanan beliau kepada saya. "Noh, you kena sabar, jangan masuk mana-mana parti. Bertenang dan bersabar.. Insya-Allah perjuangan kita akan berjaya'.

"Saya menghormati dan mematuhi pandangan serta arahan daripada beliau. Sebab itu saya tidak memasuki mana-mana parti politik sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 9:31 PM