Kuala Lumpur: Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) merancang untuk meluaskan penjualan minyak Infiniti Euro 5 Diesel ke kawasan Lembah Klang dalam tempoh jangka panjang memandangkan bahan api itu menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna selepas diperkenalkan buat kali pertama di Johor, bulan lalu.

Pengarah Runcit dan Bekalannya, James Khoo berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk merealisasikan perkara terbabit bertujuan memberi peluang dan pilihan kepada pengguna kenderaan di Lembah Klang untuk menggunakan diesel lebih berkualiti berbanding sedia ada.

“Untuk masa ini, Infiniti Euro 5 sudah ditawarkan melalui empat stesen BHP di Johor iaitu stesen BHPetrol Pagoh Selatan, Pagoh Utara, Tebrau 2 dan Pasir Gudang. Selain itu, kami juga bakal meluaskan jualan diesel ini kepada tujuh stesen lagi di Johor dalam tempoh masa terdekat,” katanya pada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Infiniti Euro 5 Diesel BHP adalah diesel yang diimport dan diperkuatkan dengan bahan aditif Jerman serta boleh menghasilkan kuasa dua kali ganda di mana BHP menjadi syarikat petroleum pertama di Malaysia memperkenalkan bahan api itu dalam pasaran runcit tempatan.

Beliau berkata, pengenalan diesel itu amat dialu-alukan oleh pengguna kenderaan tempatan terutama kenderaan berat di Johor bagi mematuhi peraturan emisi ketat kerajaan Singapura yang berkuat kuasa sejak Julai lalu di mana kenderaan diesel diwajibkan menggunakan diesel Euro 5 untuk menjaga alam sekitar.

“Diesel Euro 5 bagus untuk alam sekitar kerana ia hanya mengandungi 10 ppm sulfur berbanding 500 ppm untuk diesel Euro 2M di mana ia jelas menunjukkan Euro 5 adalah bahan api lebih baik yang mengeluarkan emisi lebih rendah bagi menjaga kualiti persekitaran lebih bersih.

“Selain itu, ia memberikan lebih perbatuan kerana menghasilkan kuasa dan cekap, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api serta amat sesuai untuk kenderaan diesel moden dalam mencapai prestasi optimum,” katanya.

Diesel Euro 5 daripada BHPetrol dijual pada harga RM2.33 seliter iaitu kenaikan RM0.10 daripada harga diesel Euro 2M, namun berbaloi jika anda mementingkan prestasi optimum dan memiliki kesedaran untuk menjaga alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:06 AM