GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Seorang bekas peniaga besi buruk terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya dengan penjara 38 tahun, atas kesalahan membunuh seorang pondan, 15 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais membenarkan permohonan semakan V. Raja, 35, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Tengku Maimun memerintahkan hukuman penjara ke atas Raja bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 23 Mei 2010 dan turut mengenakan 12 sebatan.

Raja, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2012 kerana membunuh M. Kanan, 42, di kolam takungan banjir, di Lorong Air Jernih, Setapak, Kuala Lumpur antara 1 dan 2 pagi pada 24 Ogos 2009.

Rayuan lelaki itu ditolak Mahkamah Rayuan pada 2013, sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman pada 2015.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Zulkpli Abdullah meminta mahkamah untuk mengekalkan hukuman mati, kerana kes pembunuhan itu disifatkannya sebagai suatu yang amat kejam.

Beliau berkata pada malam pembunuhan itu, Raja dan sekumpulan rakannya menaiki van ke lokasi mangsa dan beliau yang juga seorang pondan dan bekerja sebagai seorang pelacur, dipaksa masuk ke dalam van dan melakukan hubungan seks dengan Raja, yang kemudian menikamnya dengan pisau.

Peguam Raja T. Vijayandran pula merayu agar mahkamah memberi peluang kepada anak guamnya supaya hukuman mati digantikan kepada penjara seumur hidup.

Sementara itu, panel yang sama menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas warga Indonesia Edi Eko Saputro kepada penjara 36 tahun, kerana membunuh kekasihnya selepas membenarkan permohonan semakannya di bawah Akta yang sama.

Hakim Tengku Maimun turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh lelaki itu ditangkap iaitu pada 31 Julai 2011 dan dikenakan 12 sebatan.

Edi Eko, seorang buruh telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2012 kerana membunuh Nestriana juga seorang warga Indonesia, di sebuah rumah di Kampung Rumah Sepuluh, Plentong, Masai, Johor pada kira-kira 10.20 pagi, 31 Julai 2011.

Rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 2014 dan kemudiannya Mahkamah Persekutuan pada tahun berikutnya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati dengan menyatakan mangsa telah dipukul tiga kali di kepala, menggunakan beg berisi batu besar.

Bagaimanapun, peguam Choong Kak Sen yang mewakili Edi Eko merayu supaya hukuman itu digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup.

Beliau berkata anak guamnya dan mangsa merupakan pasangan kekasih dan lelaki itu telah memukulnya selepas mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 11:00 PM