HARRY Kane dan Phil Foden ketika sesi latihan. FOTO REUTERS
HARRY Kane dan Phil Foden ketika sesi latihan. FOTO REUTERS
Reuters

Weimar: Kempen Kejuaraan Eropah England kelihatan mati dan terkubur sebelum diselamatkan oleh gol saat-saat akhir yang luar biasa daripada Jude Bellingham dalam pusingan 16, tetapi mereka hampir tidak membuat kehadiran mereka dirasai di Jerman.

Pasukan bimbingan Gareth Southgate akan berhadapan dengan Switzerland yang berada dalam prestasi cemerlang di suku akhir pada Ahad ini di Duesseldorf.

Switzerland mencetuskan resah England apabila menewaskan juara bertahan, Itali dalam pusingan 16 terakhir.

Beberapa minggu yang lalu, England akan berasa gembira menghadapi Switzerland, sebuah pasukan yang mereka hanya tewas tiga kali dalam 27 pertemuan dan kali terakhir pada tahun 1981.

Namun, pasukan bimbingan Murat Yakin telah bermain dengan konsistensi dan keyakinan yang tidak dapat ditandingi oleh England.

Yakin malah berkata beliau bersimpati dengan Southgate, yang telah dikritik hebat di Jerman kerana tidak dapat menyerlahkan potensi pemainnya yang dibarisi pemain berbakat.

"Saya sendiri tahu sedikit perkara ini sejak tahun lalu. Hanya fokus pada permainan bola sepak, bukan apa yang kita baca dalam surat khabar, itu sahaja yang kita boleh lakukan sebagai jurulatih," kata Yakin.

Southgate dikritik kerana tidak melakukan banyak perubahan kepada pasukannya, tetapi itu mungkin akan berubah apabila mereka kini berlatih menggunakan formasi tiga pertahanan di belakang.

Apa yang membimbangkan Southgate ialah pemain pertahanan, Marc Guehi, yang menunjukkan prestasi mantap dalam debut pertamanya di kejohanan ini, digantung untuk perlawanan pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 11:27 PM