IQBAL. FOTO Faiz Anuar
IQBAL. FOTO Faiz Anuar
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : "Kalau ada sesiapa yang dapat tolong saya kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 diperlukan itu, saya dah takkan minta apa-apa dah lepas ini," kata pelakon Iqbal Mazlan, 35, yang mengalami masalah hilang penglihatan sejak Mac tahun lalu.

Iqbal berkata, dia perlukan sejumlah wang itu untuk memulakan kehidupan, sekali gus bangkit kembali dan mampu mencari sumber pendapatan sendiri semula menerusi saluran 'podcast' miliknya.

"Apapun, saya tahu komen netizen yang bermacam-macam di media sosial terhadap kisah saya yang disiarkan media. Tak rasa sedih pun (dengan komen), cuma rasa risau nanti orang anggap saya cuba nak ambil kesempatan. 

"Tak ada pun. Saya bukan nak ambil kesempatan dengan kekurangan diri saya yang ada masalah penglihatan ini untuk 'main' duit orang. Itu yang saya risaukan dan fikirkan sekiranya dianggap 'mengambil kesempatan dalam kesempitan'," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Iqbal, dia juga sebenarnya ada beberapa perancangan tertentu untuk bangkit semula daripada kesusahan dihadapi, namun sedar semua itu tetap perlukan kewangan untuk memulakan dan menggerakkannya.

Ditanya juga mengenai permohonan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disebabkan tidak boleh bekerja akibat masalah penglihatan, Iqbal berkata, dia baru mengambil borang permohonan.

"Sudah lama tidak bekerja, saya benar-benar memerlukan bantuan kewangan. Saya akan gunakannya sebagai modal untuk bangkit demi kelangsungan hidup kerana saya tak nak terus meminta-minta bantuan orang.

"Selain itu, saya juga sebenarnya berharap akan dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di rumah saya untuk berkongsi dan meluahkan masalah dihadapi selepas lebih setahun mengalami masalah penglihatan ini," katanya.

Terdahulu, Iqbal nama sebenarnya Muhammad Iqbal Mazlan pernah dimasukkan ke Hospital Shah Alam selepas berdepan dengan masalah penglihatan secara mengejut pada 5 Mac tahun lalu.

Iqbal berkata, buat masa ini tahap penglihatannya hanya mampu melihat biasan cahaya pada mata saja dan kalau berjalan memang perlu menggunakan bantuan tongkat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 10:58 PM