JAMES (dua dari kanan) dan Baba (kanan) menyampaikan beg cenderahati kepada pelanggan di Stesen BHPetrol, semalam.
JAMES (dua dari kanan) dan Baba (kanan) menyampaikan beg cenderahati kepada pelanggan di Stesen BHPetrol, semalam.
Oleh Erywan Norshal

Kuala Lumpur: Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) akan memperluaskan penjualan minyak diesel dengan piawaian Euro 5 di sekitar Lembah Klang pada tahun ini.

Pengarah Runcit dan Bekalannya James Khoo berkata, pihaknya menerima maklum balas dan permintaan positif daripada pengguna di sekitar Lembah Klang selepas ia diperkenalkan di selatan tanah air pada tahun lalu.

Menurutnya, harga bagi diesel Euro 5 itu lebih mahal 10 sen berbanding Euro 2 yang dijual di pasaran ketika ini, malah ia lebih bersih dan mesra alam sekitar.

“Bagaimanapun, kami sedang menunggu kelulusan kerajaan sebelum melaksanakan penjualan minyak diesel Euro 5 di kawasan Lembah Klang ini.

“Selain itu, BHPetrol akan memperluaskan lagi rangkaian penjualan minyak dengan rancangan membuka 20 stesen lagi pada tahun ini,” katanya selepas menyampaikan cenderahati kepada pelanggan sempena Tahun Baru Cina di Stesen BHPetrol Sungai Besi, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran Kanan BHPetrol Marketing, Baba Tan.

Sementara itu, James berkata, Stesen BHPetrol Sungai Besi baru saja dibuka pada minggu lalu yang menerima sentuhan dengan konsep terbaru untuk keselesaan pelanggan.

Menurutnya, selain menyediakan produk makanan tempatan dengan harga berpatutan, stesen minyak berkenaan menggunakan pam ciri terbaru yang mana pengguna tidak perlu menunggu lama untuk mengisi bahan api.

“Dalam tempoh seminit, pam bagi minyak diesel boleh diisi dengan kapasiti 180 liter, malah kami turut menggunakan pemegang dengan hos yang lebih ringan.

“Kami juga merancang akan menaik taraf pam terbaru itu di 330 stesen minyak BHPetrol seluruh negara secara berperingkat sehingga tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:13 AM