ALLAHYARHAM Hafiz Fauzan. FOTO Ihsan keluarga
ALLAHYARHAM Hafiz Fauzan. FOTO Ihsan keluarga
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Identiti rangka manusia yang ditemui celah pokok dalam kebun durian di Jalan Muar-Yong Peng, bersebelahan Kompleks Panghulu Mukim Linau, bulan lalu dikenal pasti milik Hafiz Fauzan Abd Halid.

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh bapanya, Abd Halid Sugiman, 44, pada hari ini, menamatkan penantiannya hampir 10 hari selepas rangka terbabit ditemui pada pagi, 25 Jun lalu.

Abd Halid berkata, keputusan itu diperoleh jam 4.43 petang selepas dia dihubungi polis bagi memaklumkan hasil ujian DNA yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menurutnya, jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan akan dikebumikan pagi esok.

"Berdebar-debar bila saya menerima panggilan petang tadi, tapi Alhamdulillah semua sudah selesai. Apa yang ditunggu-tunggu sudah berakhir," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, proses tuntutan jenazah akan dibuat esok pagi di Hospital Sultanah Nora Ismail dan urusan jenazah akan dibantu pihak Jabatan Agama Batu Pahat.

Solat jenazah pula akan diadakan di Surau Al-Muhajirin Bandar Putera Indah, Tongkang Pecah, pada 10:30 pagi.

Selepas selesai solat, jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah untuk dikebumikan.

Hafiz Fauzan, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu selepas keluar menonton bola sepak.

Pelbagai usaha dijalankan ahli keluarga serta bantuan rakan dan pihak sekolahnya namun menemui jalan buntu.

Selepas hampir sebulan kehilangannya, rangka manusia berserta sebuah motosikal ditemui orang awam di celah pokok dalam kebun durian.

Penemuan itu merungkai kehilangan anak ketiga daripada tujuh beradik selepas nombor pendaftaran sama dengan motosikal digunakan Hafiz Fauzan seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 8:39 PM